Skip to main content

Malaysia

Ketua Pengarah, Timbalan JAS mengaku tidak bersalah terima rasuah

AWANI
Dua pegawai tertinggi JAS ketika tiba di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan siasatan pengurusan sisa elektronik (e-waste). - Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Dua pegawai tertinggi Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas pertuduhan menerima rasuah berkaitan siasatan pengurusan sisa elektronik (e-waste).

Ketua Pengarah JAS, Datuk Wan Abdul Latiff Wan Jaffar, 59, dan Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan dan Operasi), Norhazni Mat Sari, 59, membuat pengakuan itu di dua bilik mahkamah berasingan di hadapan Hakim Suzana Hussin dan Hakim Azura Alwi.

Wan Abdul Latiff didakwa menerima wang tunai berjumlah RM100,000 sebagai upah mempertimbangkan rayuan pengecualian penyediaan Laporan EA bagi Permohonan Kebenaran Merancang Projek Cadangan Membina Jalan Berkembar Bukit Kukus serta kerja tanah mitigasi di atas tanah kerajaan.

Kesalahan itu didakwa berlaku pada 15 Januari lalu dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Jika sabit kesalahan, beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan didenda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi.

Hakim Suzana membenarkan jaminan sebanyak RM40,000 dengan seorang penjamin serta arahan menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga perbicaraan selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 7 Mei depan.

Norhazni pula berdepan enam pertuduhan menerima rasuah berjumlah keseluruhan RM21,000 daripada seorang pengarah syarikat yang mempunyai hubungan dengan kerja rasmi antara 18 April 2022 hingga 19 Julai 2024.

Kesemua pertuduhan dibaca mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga dua tahun, atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Hakim Azura membenarkan jaminan sebanyak RM25,000 dengan seorang penjamin serta arahan menyerahkan pasport sehingga perbicaraan selesai. Sebutan semula kes ditetapkan pada 19 Mei depan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki semalam mengesahkan bahawa tindakan pendakwaan tersebut diteruskan selepas mendapat persetujuan daripada pihak Pendakwa Raya dan Pejabat Peguam Negara.

Beliau menyatakan bahawa persetujuan tersebut membolehkan pertuduhan dilakukan terhadap kedua-dua pegawai tinggi itu mengikut jadual yang ditetapkan.

Sebelum ini, kedua-dua pegawai berkenaan ditahan di bawah Akta SPRM 2009 kerana disyaki terlibat dalam amalan rasuah berkaitan pengurusan e-waste di dalam negara.

Siasatan terhadap kes tersebut telah dimulakan sejak awal tahun ini susulan beberapa pendedahan berhubung isu pengurusan sisa berkenaan.

Selain itu, Timbalan Ketua Pengarah JAS turut dijadualkan akan dihadapkan ke Mahkamah Shah Alam pada Isnin depan bagi menghadapi satu lagi pertuduhan tambahan.

 

 

Must Watch Video