Skip to main content

Malaysia

Kesihatan Mursyidul Am Pas semakin pulih, mula berinteraksi - anak

https://www.sinarharian.com.my/article/770552/berita/politik/kesihatan-mursyidul-am-pas-semakin-pulih-mula-berinteraksi---anak
Tangkap layar media sosial Dr Nabilah dan Datuk Hashim Jasin (kanan). - Foto Sinar Harian

KANGAR: Perkembangan kesihatan Mursyidul Am Pas, Datuk Hashim Jasin yang kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) di Hospital Pulau Pinang dilaporkan semakin pulih apabila beliau sudah mula membuka mata dan bercakap.

Anak sulungnya, Dr Nabilah Hashim berkata, bapanya bukan sahaja sudah boleh berkata-kata, malah sempat memberi tazkirah walaupun masih dalam rawatan.

Menurutnya, perubahan keadaan kesihatan itu turut mengejutkan doktor memandangkan sebelum ini bapanya hanya banyak berdiam diri dengan mata tertutup.

“Alhamdulillah, syukur atas anugerah terindah ini. Sejak semalam abah sudah buka mata dan mula berkata-kata semula, malah sempat berceramah serta memberi tazkirah.

“Doktor juga terkejut dengan perkembangan positif ini,” katanya menerusi hantaran di media sosial.

Dr Nabilah berkata, bapanya juga mula menyatakan keinginan untuk menikmati beberapa jenis makanan seperti buah-buahan dan laksa.


Bagaimanapun katanya, buat masa ini bapanya hanya diberikan susu melalui tiub hidung kerana doktor belum membenarkan beliau mengambil makanan biasa bagi mengelakkan risiko tersedak.

“Jururawat memaklumkan abah belum dibenarkan makan kerana doktor tidak mahu abah tersedak dan air masuk ke dalam paru-paru,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun dalam keadaan lemah dengan tubuh dipenuhi pelbagai wayar perubatan, bapanya masih memikirkan soal ibadah serta kepentingan jemaah.

Menurutnya, ayahnya bercakap mengenai solat dan azan dan meminta supaya fidyah dibayar kerana keadaannya yang tidak membolehkannya berpuasa.

Abah juga beberapa kali cuba bangun duduk dan meminta bantuan jururawat. Abah kata kepentingan jemaah lebih penting daripada kepentingan dirinya,” katanya lagi.

Sebelum ini media melaporkan keadaan kesihatan Hashim yang dirawat di hospital berkenaan berada dalam keadaan stabil dengan fungsi jantung dan buah pinggangnya menunjukkan perkembangan baik.

Beliau dilantik sebagai Mursyidul Am Pas yang keempat pada 10 Oktober 2016 oleh Majlis Syura Ulama Pas bagi menggantikan Allahyarham Datuk Dr Haron Din yang meninggal dunia pada 16 September tahun sama.

 

Must Watch Video