Skip to main content

Malaysia

Kes rasuah RM1 juta bina gelanggang skuasy, CEO badan berkanun direman 5 hari

[TB]_SPRM REMAN CEO_SPRM
Lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam tadi di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

KUALA LUMPUR: Ketua pegawai eksekutif (CEO) badan berkanun yang ditahan malam tadi kerana disyaki meminta dan menerima rasuah kira-kira RM1 juta membabitkan kontrak pembinaan gelanggang skuasy, direman selama lima hari bermula hari ini.

Perintah reman itu dikeluarkan Majistret Ezrene Zakaria di Mahkamah Majistret Putrajaya, selepas permohonan dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pagi tadi.

Menurut sumber, lelaki berusia lingkungan 40-an itu ditahan kira-kira jam 7 malam tadi di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang.

Siasatan awal mendapati suspek dipercayai meminta rasuah RM1 juta sebagai balasan membantu meluluskan bayaran tuntutan kontraktor bagi projek pembinaan gelanggang skuasy bernilai RM7 juta di ibu negara.

"Bagaimanapun suspek dipercayai telah menerima kira-kira RM500,000 tunai sebelum Aidilfitri lalu dan RM100,000 lagi semalam daripada kontraktor terbabit di sebuah pusat beli-belah di Lembah Klang," katanya.

Timbalan Pengarah Kanan (Kawalan dan Penyelarasan Operasi) Bahagian Siasatan SPRM, Datuk Yuhafiz Mohd Salleh, ketika dihubungi mengesahkan kes disiasat di bawah Seksyen 17A Akta SPRM 2009.

Must Watch Video