Skip to main content

Malaysia

Kes penyakit berkaitan cuaca panas kekal 41 setakat 24 April – Dr Dzulkefly

Dr Dzulkefly Awani
Dr Dzulkefly berkata tiada kes baharu dilaporkan pada 24 April, sekali gus menjadikan angka keseluruhan bagi tahun ini tidak berubah. -Gambar Astro AWANI

KUALA LUMPUR: Jumlah kumulatif kes penyakit berkaitan cuaca panas bagi tahun 2026 kekal sebanyak 41 kes setakat 24 April 2026.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata tiada kes baharu dilaporkan pada 24 April, sekali gus menjadikan angka keseluruhan bagi tahun ini tidak berubah.

“Daripada jumlah keseluruhan itu, sebanyak 35 kes melibatkan kelesuan haba (heat exhaustion), diikuti tiga kes exertional heat stroke yang berlaku ketika aktiviti fizikal seperti dalam kalangan atlet dan anggota polis.

“Selain itu, terdapat dua kes strok haba jenis confinement heat stroke serta satu kes kekejangan haba,” katanya kepada pemberita selepas majlis perasmian buku resipi ‘Mai Kurang’, di sini, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memaklumkan setakat jam 6 pagi hari ini, sebanyak 13 daerah di lima negeri mengalami Cuaca Panas Tahap 1 (Berjaga-Jaga).

Kawasan terlibat ialah Perlis, beberapa daerah di Kedah iaitu Kubang Pasu, Pokok Sena, Pendang, Padang Terap dan Sik, selain Jeli, Tanah Merah, Pasir Mas dan Kuala Krai di Kelantan.

Di Perak, dua daerah yang terjejas ialah Kuala Kangsar dan Hulu Perak, manakala Jerantut di Pahang turut merekodkan cuaca panas pada tahap berjaga-jaga.

Pada masa sama, Machang, Kelantan menjadi satu-satunya daerah yang mencatatkan Cuaca Panas Tahap 2 atau gelombang haba.

Sehubungan itu, Dr Dzulkefly menasihatkan orang ramai supaya sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga termasuk mengehadkan aktiviti luar, minum air secukupnya serta segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala berkaitan haba.

 

Must Watch Video