Skip to main content

Malaysia

Kes ‘mafia korporat’: Polis sita kereta, jam mewah, wang tunai

fotoBERNAMA
Selain barangan mewah dan wang tunai, polis turut menyita beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan. - Gambar hiasan

KUALA LUMPUR: Polis menyita dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas serta wang tunai termasuk mata wang asing dalam serbuan ke atas beberapa premis milik seorang ahli perniagaan yang dikaitkan dengan dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’, Jumaat lalu.

Serbuan itu dijalankan Pasukan Unit Siasatan Jenayah Pengubahan Wang Haram (AMLA), Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu siasatan berkaitan dakwaan pengubahan wang haram.

Ketua Pasukan AMLA PDRM, Datuk Fazlisyam Abdul Majid berkata, selain barangan mewah dan wang tunai, pihaknya turut menyita beberapa dokumen yang dipercayai mempunyai kaitan dengan siasatan kes berkenaan.

Menurutnya, nilai keseluruhan sitaan masih dalam proses penilaian oleh pihak berkuasa.

“Antara yang disita ialah dua kereta, jam tangan mewah, barang kemas serta wang tunai termasuk mata wang asing selain beberapa dokumen berkaitan.

“Serbuan dilakukan di beberapa premis pada Jumaat lalu bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan,” katanya pada Selasa.

Beliau berkata, kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLA).

Menurutnya, siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenal pasti kaitan barangan yang disita dengan dakwaan aktiviti pengubahan wang haram.

Terdahulu, Polis Diraja Malaysia mengesahkan telah melakukan pemeriksaan ke atas beberapa premis yang mempunyai kaitan dengan seorang ahli perniagaan.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, tindakan penguatkuasaan itu dibuat bagi membantu siasatan berhubung dakwaan kegiatan ‘mafia korporat’.

Menurutnya, siasatan masih di peringkat awal dan beberapa tindakan lanjut telah diambil di premis yang mempunyai kaitan dengan individu berkenaan.

Jelas beliau, kes ini masih dalam siasatan dan jika perlu, sidang media seterusnya akan diadakan untuk memaklumkan perkembangan lanjut.

Media sebelum ini melaporkan beberapa premis milik ahli perniagaan terbabit diserbu pihak berkuasa termasuk Suruhanjaya Sekuriti dan PDRM bagi mendapatkan dokumen berkaitan untuk membantu siasatan.

Minggu lalu, Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil memaklumkan bahawa Kabinet mengarahkan PDRM serta beberapa agensi berkaitan termasuk Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk menjalankan siasatan terhadap dakwaan manipulasi korporat berkenaan.

Arahan itu dibuat susulan gesaan pelbagai pihak termasuk pemimpin kerajaan supaya satu Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) ditubuhkan bagi menyiasat dakwaan tersebut. - Sinar Harian

Must Watch Video