Skip to main content

Malaysia

Kes bunuh di Buntong: Tiga lelaki direman dua hari

TETAK BUNTONG
Seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah semalam di kawasan Buntong . - Gambar fail/PDRM

IPOH: Tiga lelaki tempatan direman dua hari bagi membantu siasatan kes seorang lelaki maut dengan kesan tetakan dipercayai dibunuh dalam kejadian di kawasan Buntong di sini, Isnin lepas.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Muhammad Najib Hamzah berkata perintah reman terhadap ketiga-tiga suspek berusia antara 24 tahun hingga 34 tahun itu dikeluarkan oleh Majistret S. Punitha di Mahkamah Majistret di sini hari ini. 

"Setakat ini, pihak polis telah membuat tangkapan lanjut melibatkan tiga suspek di Pasar Awam Buntong, kira-kira 5.30 petang semalam. Permohonan reman dibuat hari ini dan telah dibenarkan dua hari hingga esok," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata seorang rakan mangsa masih menerima rawatan di hospital kerajaan, manakala seorang lagi menerima rawatan lanjut di hospital swasta dengan kedua-dua mereka dalam keadaan stabil tetapi masih lemah.

Muhammad Najib berkata siasatan awal mendapati kejadian berpunca daripada perselisihan faham, namun siasatan lanjut masih dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian dengan seorang suspek berumur 23 tahun direman selama seminggu bermula semalam bagi membantu siasatan berkaitan insiden itu.

Semalam, beliau memaklumkan seorang lelaki tempatan berusia 25 tahun ditemukan dalam keadaan terbaring di tengah jalan dengan kesan kecederaan parah dipercayai akibat ditetak menggunakan senjata tajam di kawasan Buntong selepas polis menerima maklumat berkenaan kejadian itu kira-kira 11.10 malam, Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Noor Hisam Nordin pula memaklumkan kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan antara kumpulan selain siasatan awal mendapati insiden itu melibatkan konflik antara beberapa individu dalam kumpulan tertentu dan tidak mempunyai kaitan dengan isu perkauman.

-- BERNAMA

Must Watch Video