PUTRAJAYA: Kerajaan sedang memperhalusi pendekatan subsidi bersasar termasuk menentukan garis pemisah yang jelas antara golongan layak menerima bantuan dan mereka yang wajar dikeluarkan daripada sistem subsidi sedia ada.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata pendekatan itu penting bagi memastikan bantuan dapat disalurkan secara lebih tepat kepada kumpulan sasaran tanpa memberi kesan mendadak kepada rakyat yang masih memerlukan sokongan.
Beliau berkata kerajaan konsisten dengan pendirian bahawa pemberian bantuan dan subsidi perlu dilaksanakan secara bersasar dengan mengambil kira kedudukan kewangan negara serta keperluan mengimbangi perlindungan rakyat, kawalan inflasi dan pembangunan ekonomi.
“Dalam usaha kita menyampaikan subsidi ini kepada kumpulan sasara , kita juga tidak mahu ia memberi kejutan yang ketara kepada kumpulan yang mungkin masih memerlukan sokongan ataupun belum bersedia untuk beralih sepenuhnya,” katanya ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Penyerahan Surat Tawaran kepada entiti diluluskan di bawah kerjasama strategik antara Kerajaan Malaysia dan ARM Limited dalam industri semikonduktor, pada Isnin.
Menurut Akmal Nasrullah, antara cabaran utama ketika ini ialah menentukan garis pemisah yang sesuai antara penerima subsidi dan golongan yang mungkin lebih sesuai dikeluarkan daripada sistem berkenaan.
Jelasnya, beberapa data dan dimensi sedang dipertimbangkan termasuk aspek pendapatan serta faktor lain yang berkaitan sebelum keputusan dimuktamadkan.
Beliau menambah, perincian lanjut hanya akan dikongsikan selepas keputusan dibuat memandangkan kerajaan juga perlu menyediakan ruang rayuan kepada pihak yang terkesan.
“Apabila ada garis pemisah yang lebih jelas, ia akan memudahkan penerimaan kumpulan-kumpulan sasaran ini,” katanya lagi.
Dalam pada itu, beliau berkata jumlah subsidi yang besar ketika ini perlu diurus secara cermat bagi mengelakkan implikasi terhadap kedudukan fiskal negara.
Katanya, kerajaan juga mahu memastikan negara terus memiliki daya tahan ekonomi yang baik menerusi kesinambungan aktiviti ekonomi dan peluang pekerjaan.
“Apabila peluang ekonomi terus diwujudkan dan aktiviti ekonomi dapat dipastikan berterusan, sudah pasti syarikat-syarikat juga akan mendapat manfaat,” katanya.
Terdahulu pada Ahad, Astro AWANI melaporkan kerajaan sedang meneliti cadangan untuk menarik subsidi minyak terhadap golongan berpendapatan tinggi, termasuk kumpulan T15 dan T20.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kertas cadangan berkaitan perkara itu telah dibentangkan beberapa bulan lalu oleh Pasukan Petugas Pengurusan Krisis (PPPK) di bawah Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikan Tan Sri Mohd Hassan Marican, dan kini berada di peringkat akhir penelitian.