Skip to main content

Malaysia

Kerajaan laksana sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak hujung Jun - Fahmi

PUTRAJAYA, 16 April -- Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil ketika sidang media selepas berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di Kementerian Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA(2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi bercakap kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan akan melaksanakan sekatan akses akaun media sosial bagi kanak-kanak bawah 16 tahun sebagai langkah memperkukuh perlindungan dalam talian.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata sekatan akses itu dijangka dilaksanakan hujung Jun ini, tertakluk kepada penelitian akhir.

“MCMC (Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia) sedang melakukan regulatory sandbox (medan uji) dengan platform media sosial untuk mengenal pasti mekanisme yang pada waktu ini dilaksanakan oleh penyedia platform.

“Yang kedua, untuk menyeragamkan dengan mekanisme yang mungkin kita harapkan (dan) kita tidak mahu sekadar disebut sebagai age assurance tapi age verification kerana Malaysia dalam konteks perundangannya berbeza yang mana kita mempunyai dokumen rasmi kerajaan iaitu MyKad,” katanya kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi, di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Datin Paduka Nur-ul Afida Kamaludin.

Fahmi berkata MCMC telah mengadakan perbincangan mendalam mengenai pelaksanaan sekatan itu dengan platform media sosial di Singapura pada Jumaat lepas.

“Sekarang dalam proses meneliti dan mereka (MCMC) akan bawa kepada perhatian saya, mungkin dalam seminggu yang akan datang. Kemudian kita akan putuskan, kita harap akan dapat laksanakan sekatan ini mungkin Jun atau Julai ini,” katanya.

Beliau berkata beberapa platform media sosial telah menyatakan kesediaan untuk melaksanakan sekatan tersebut dan hasil perbincangan lanjut akan dibentangkan dalam masa terdekat sebelum keputusan dimuktamadkan.

Fahmi sebelum ini dilaporkan berkata kerajaan sedang melaksanakan medan uji bersama dengan platform media sosial untuk mengenalan sekatan umur 16 tahun bagi pendaftaran akaun baharu.

Beliau berkata pendekatan Malaysia berbeza daripada Model Age Assurance yang digunakan di Australia, dengan Malaysia akan memanfaatkan perundangan khusus mengenai MyKad sebagai elemen keselamatan tambahan untuk pengesahan identiti dan umur pengguna.

Media turut melaporkan sekatan akses media sosial terhadap kanak-kanak kini semakin meluas ke seluruh dunia, selepas Australia mengambil langkah melarang pengguna di bawah usia 16 tahun pada tahun lepas, kerana kesan negatif platform itu terhadap golongan muda.

Untuk rekod, Australia meluluskan undang-undang yang melarang akses kepada platform media sosial bagi pengguna di bawah umur 16 tahun berkuat kuasa pada 10 Dis.

-- BERNAMA

Must Watch Video