SEREMBAN: Kerajaan akan memperincikan keputusan membenarkan lepasan institusi tahfiz dan Sekolah Menengah Persendirian Cina (SMPC), termasuk pemegang Sijil Peperiksaan Bersama (UEC), untuk melanjutkan pengajian dalam program terpilih di universiti awam (UA).
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau yakin langkah itu akan diterima baik oleh semua pihak memandangkan ia memberi ruang kepada pelajar tahfiz dan UEC mengakses pendidikan tinggi awam, tertakluk kepada syarat lulus mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah di peringkat Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).
"Keputusan Jemaah Menteri adalah pelajar mesti lulus Bahasa Melayu dan Sejarah. Kita membenarkan akses ini, walaupun pada peringkat awal ia mungkin terhad kepada kursus-kursus tertentu.
"Sebelum ini, perkara ini tidak dipersetujui. Namun, memandangkan sekolah menengah persendirian Cina telah menerima syarat tersebut, kita juga berasa selesa dengannya.
"Nampaknya semua pihak kini bersetuju, walaupun beberapa butiran lanjut masih sedang diperhalusi," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan majlis perasmian sambutan Hari Belia Negara 2026 peringkat kebangsaan di sini, pada Jumaat.
Mengulas lanjut, Anwar menyifatkan keterbukaan itu sebagai langkah inklusif bagi memastikan bakat muda negara daripada pelbagai latar belakang pendidikan dapat menyumbang kepada pembangunan negara melalui saluran akademik yang diiktiraf.
Beliau turut menekankan bahawa pemerkasaan bahasa kebangsaan dan pemahaman sejarah negara tetap menjadi tunjang utama dalam integrasi pendidikan tersebut.
Media pada Khamis melaporkan, calon lepasan SMPC/UEC serta tahfiz berpeluang mengikuti program tertentu yang dikenal pasti di universiti awam.
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memaklumkan, langkah itu dipersetujui berdasarkan keputusan Mesyuarat Jemaah Menteri berkaitan laluan kemasukan pelajar lepasan di luar sistem pendidikan kebangsaan ke IPTA.
Mesyuarat Jemaah Menteri bersetuju bahawa calon daripada aliran terbabit perlu mengambil mata pelajaran Bahasa Melayu dan Sejarah yang dikendalikan oleh Lembaga Peperiksaan Malaysia (LPM) serta diperakui KPM.
Semua permohonan akan diproses berdasarkan prinsip meritokrasi, syarat kelayakan akademik serta tertakluk kepada ketetapan dan keputusan Senat Universiti.
Bagi calon lepasan SMPC/UEC, antara program dikenal pasti ialah Sarjana Muda Sastera Pengajian Bahasa Cina dengan Kepujian, Sarjana Muda Bahasa dan Linguistik Cina, Sarjana Muda Sastera Pengajian Cina dan Sarjana Muda Bahasa Cina dengan Pendidikan.
Bagi calon lepasan sekolah atau institusi tahfiz, antara program dikenal pasti ialah Diploma dan Sarjana Muda Dakwah, Diploma dan Sarjana Muda Al-Quran dan As-Sunnah, Sarjana Muda Pendidikan Tahfiz serta Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah).