NEW DELHI: Malaysia berpandangan sistem tadbir urus global sedia ada tidak lagi mencukupi dan mampan dalam menangani cabaran semasa termasuk ketidaksamaan ekonomi, krisis hutang dan ketidaktentuan global yang semakin meruncing.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pembaharuan sistem global perlu dilaksanakan segera namun ia bukan bertujuan merombak sepenuhnya sistem sedia ada atau meninggalkan multilateralisme.
Sebaliknya, beliau berkata reformasi perlu dilakukan bagi memastikan sistem antarabangsa dapat berfungsi dengan lebih baik, berkesan dan responsif terhadap cabaran semasa.
Menurut Mohamad, Malaysia percaya reformasi bermakna perlu berteraskan tiga prinsip utama iaitu keterangkuman, kesaksamaan dan kepercayaan.
"Tanpa semua ini, tiada sistem yang mampu mengekalkan legitimasi.
"Walaupun laluan di hadapan penuh mencabar, perubahan tetap boleh dicapai, khususnya apabila terdapat kejelasan matlamat dan kesediaan untuk bertindak," ujar beliau.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan kenyataan negara Malaysia pada sesi “Reforms of Global Governance and Multilateral System” sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Luar Negeri BRICS di New Delhi pada Jumaat.
Mohamad turut menyifatkan BRICS mampu memainkan peranan penting sebagai pemangkin kepada reformasi bermakna dalam sistem global, khususnya dalam memperjuangkan tadbir urus antarabangsa yang lebih inklusif dan mampan.
Beliau berkata Malaysia bersedia bekerjasama dengan semua rakan termasuk menerusi platform BRICS bagi membentuk sistem multilateralisme yang lebih berdaya tahan dan memberi manfaat kepada semua negara.
BRICS ialah blok kerjasama ekonomi dan geopolitik yang dianggotai negara-negara ekonomi sedang membangun utama dunia, termasuk Brazil, Rusia, India, China dan Afrika Selatan.
Ketika ini, BRICS mewakili hampir separuh populasi dunia dengan gabungan ekonomi bernilai kira-kira AS$32 trilion atau hampir 30 peratus daripada keluaran ekonomi global.