SEGAMAT: Kementerian Komunikasi akan menerapkan prinsip “di mana ada tren, di situ ada Internet” dalam usaha meningkatkan capaian Internet di sepanjang laluan perkhidmatan tren elektrik (ETS) KL Sentral-Segamat.
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata ia merupakan peluasan kepada prinsip yang digunakan sebelum ini iaitu “di mana ada jalan, di situ ada Internet”.
Sehubungan itu, beliau berkata Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) serta syarikat telekomunikasi telah diminta menyelesaikan masalah capaian Internet di sepanjang laluan perkhidmatan ETS berkenaan dalam tempoh sebulan.
"Ini antara usaha yang diambil, dan saya berharap pengguna perkhidmatan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) akan rasa lebih selesa untuk terus saling berhubung atau bekerja semasa dalam perjalanan ke destinasi," katanya semasa sesi pengujian kelajuan Internet dalam perkhidmatan ETS bagi laluan KL Sentral-Segamat hari ini.
Yang turut hadir ialah Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Abdul Halim Hamzah dan Pengarah Urusan MCMCM Abdul Karim Fakir Ali.
Fahmi berkata ujian kelajuan Internet rangkaian 4G dan 5G dilaksanakan oleh MCMC dengan kerjasama enam penyedia perkhidmatan rangkaian mudah alih utama iaitu CelcomDigi, Maxis, U Mobile, TM Tech, YTL Communications dan Digital Nasional Berhad (DNB).
Beliau berkata bukan hanya capaian Internet bagi perkhidmatan ETS yang perlu ditambah baik tetapi juga keseluruhan perkhidmatan KTMB sejauh 1,700 kilometer hingga ke Tumpat, Kelantan.
Bagi tujuan itu, Fahmi meminta MCMC, KTMB dan Perbadanan Aset Keretapi (RAC) serta keenam-enam syarikat telekomunikasi untuk mengadakan bengkel dalam masa terdekat bagi mengenal pasti masalah capaian Internet dan titik buta di seluruh jajaran perkhidmatan KTMB.
Beliau berkata pihak berkenaan perlu mengenal pasti langkah penyelesaian segera dan langkah jangka panjang yang boleh diambil.
"Saya dimaklumkan RAC dan KTMB ada menyediakan perkhidmatan tertentu termasuk wi-fi namun kita perlu lihat secara keseluruhan carrier agnostic.
"Kita tidak kisah syarikat mana asalkan ada beberapa infrastruktur pasif sama ada menara mahupun beberapa perkakasan lain yang boleh dilengkapi... maka, semua syarikat telekomunikasi sepatutnya memanfaatkan apa yang telah disediakan," katanya.
Sepanjang perjalanan dari KL Sentral-Segamat, Fahmi turut melakukan dua ujian kelajuan Internet iaitu di Stesen Kajang dan Stesen Pulau Sebang/Tampin.
Sementara itu, MCMC dalam kenyataan memaklumkan tujuan ujian tersebut ialah untuk menilai prestasi liputan dan kelajuan rangkaian 4G dan 5G secara masa nyata di sepanjang laluan rel yang menjadi antara koridor pengangkutan utama negara.
"Pelbagai parameter teknikal telah diukur, termasuk kelajuan muat turun dan muat naik, kestabilan sambungan data serta kesinambungan liputan tanpa gangguan.
“Pengujian itu menggunakan peralatan khusus dan aplikasi pemantauan rangkaian bagi memastikan dapatan yang tepat dan komprehensif," menurut kenyataan itu.
Pada masa ini, MCMC memaklumkan sebanyak 71 peratus kawasan liputan telah dilengkapi perkhidmatan 5G dan peluasan liputan akan diteruskan secara berperingkat.
Bagaimanapun, terdapat beberapa lokasi mengalami penurunan kualiti liputan dan kelajuan muat turun khususnya di kawasan luar bandar sekitar Negeri Sembilan, Melaka serta Johor Utara yang memerlukan tindakan penambahbaikan dan pengoptimuman lanjut oleh pihak penyedia perkhidmatan.
-- BERNAMA