Skip to main content

Malaysia

Kementerian Komunikasi, FINAS terus bangunkan sektor animasi - Fahmi

Sumber: Fahmi Fadzil
Menurut Fahmi, satu pertemuan telah diadakan bersama FINAS dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) di Menara Komunikasi, Putrajaya, semalam, bagi membincangkan isu-isu semasa penggiat industri animasi.

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk membantu pembangunan sektor animasi negara menerusi usaha yang diterajui Kementerian Komunikasi dan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, bagi tujuan itu, satu sesi libat urus akan diadakan oleh FINAS selepas sambutan Aidilfitri.

Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi berkata, satu pertemuan telah diadakan bersama FINAS dan Persatuan Animasi Malaysia (ANIMAS) di Menara Komunikasi, Putrajaya, semalam, bagi membincangkan isu-isu semasa penggiat industri animasi.

“Perjumpaan yang baik, memberi peluang memahami lebih mendalam isu-isu yang dihadapi pemain industri animasi. Insya-Allah FINAS akan mengatur satu sesi pertemuan libat urus selepas Hari Raya Aidilfitri,” katanya. 

Fahmi berkata, ANIMAS yang telah aktif sejak 2007 dan mempunyai lebih 5,000 ahli di seluruh negara, merupakan antara sektor perfileman penting dan berpotensi tinggi termasuk untuk dieksport. 

Mengambil contoh kejayaan filem animasi tempatan seperti "Papazola", beliau berkata karya tersebut bukan sahaja berjaya mengutip lebih RM68 juta di pawagam seluruh negara, malah turut mendapat sambutan di Indonesia.

“Insya-Allah, Kementerian Komunikasi dan khususnya FINAS akan terus membantu pembangunan sektor animasi,” katanya. 

-- BERNAMA 

 

 

Must Watch Video