KUALA LUMPUR: Satu kejadian kebakaran melibatkan sebuah bilik di Sasana Kijang, Bank Negara Malaysia di Jalan Dato Onn, di sini berjaya dipadamkan pasukan bomba pagi tadi.
Menurut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan menerusi talian NG999 pada jam 7.32 pagi berhubung kejadian itu.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sentul dengan bantuan BBP Titiwangsa segera digerakkan ke lokasi kejadian dengan kekuatan 17 anggota bersama jentera Fire Rescue Tender, Light Fire Rescue Tender dan EMRS.
Komander Operasi PBK I S Thirugaiyah Saminathan berkata, setibanya pasukan di lokasi pada jam 7.41 pagi, kebakaran didapati melibatkan sebuah bilik UPS Backup Battery di tingkat tiga bangunan berkenaan.
“Tindakan pantas anggota berjaya memadam kebakaran dan api dapat dikawal pada jam 7.46 pagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Kebakaran melibatkan keluasan kira-kira 5x5 kaki persegi dengan kemusnahan dianggarkan 40 peratus.
Tiada mangsa dilaporkan terlibat dan punca kebakaran masih dalam siasatan.
Susulan kejadian itu, lokasi sidang media pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar Suku Pertama 2026 yang dijadual berlangsung di Sasana Kijang pada 11 pagi ini telah bertukar ke Ibu Pejabat Bank Negara Malaysia.