Skip to main content

Malaysia

Kanak-kanak lelaki hilang di sungai ditemukan lemas

71677738429_lemas.jpg
KUANTAN: Kanak-kanak lelaki yang dilaporkan hilang di Sungai Pasir, Kampung Seri Makmur, Pekan dekat sini semalam, ditemukan lemas hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pekan Wan Samsul Effendi Wan Mahmud berkata mayat Muhammad Hafizhan Abd Zaib, 10, ditemukan pada 12.10 tengah hari kira-kira 50 meter dari lokasi dia dipercayai hilang.

Mayat kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya.

Beliau berkata operasi mencari dan menyelamat yang bersambung pagi tadi turut melibat polis, Angkatan Pertahanan Awam, bomba termasuk Pasukan Penyelamat Di Air BBP Pekan serta dua ekor anjing pengesan bomba.

Muhammad Hafizhan dilaporkan hilang selepas disyaki tergelincir di tebing alur ladang kelapa sawit yang dinaiki air akibat hujan lebat berterusan sejak dua hari lepas, sebelum dibawa arus ke anak sungai tersebut.

-- BERNAMA

Must Watch Video