Skip to main content

Malaysia

‘Kami serahkan ibu ayah kepada Tabung Haji’ - Amanah besar dipikul petugas haji Malaysia

Sumber: Astro AWANI
Ungkapan itu sangat menyentuh hati dan menjadi peringatan buat seluruh petugas bahawa tugas mereka bukan sekadar mengurus operasi haji, tetapi menjaga insan-insan yang paling disayangi oleh keluarga di tanah air. - Astro AWANI

MEKAH: “Kami serahkan ibu dan ayah kami kepada Tabung Haji.”

Ungkapan ringkas daripada waris jemaah itu mungkin kedengaran biasa, namun di sebalik kata-kata tersebut tersimpan kepercayaan yang amat besar terhadap petugas haji negara yang saban tahun menggalas amanah menjaga kebajikan tetamu Allah di Tanah Suci.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Haji, Mustakim Mohamad berkata, ungkapan itu sangat menyentuh hati dan menjadi peringatan buat seluruh petugas bahawa tugas mereka bukan sekadar mengurus operasi haji, tetapi menjaga insan-insan yang paling disayangi oleh keluarga di tanah air.

“Apabila anak-anak menyerahkan ibu bapa mereka kepada kita, itu adalah amanah yang sangat besar. Mereka bukan sekadar jemaah haji, tetapi seperti ibu bapa dan saudara-mara kita sendiri.

“Layanilah mereka dengan penuh kasih sayang, keikhlasan dan hati yang tenang supaya mereka dapat menunaikan ibadah dengan selesa dan sempurna,” katanya dalam nada sebak ketika menyampaikan amanat kepada petugas haji TH di Mekah semalam.

Dalam pada itu, beliau turut berkongsi bahawa tahap kepuasan jemaah Malaysia terhadap perkhidmatan TH terus meningkat apabila Indeks Kepuasan Pelanggan (CSI) musim haji lalu mencapai 93 peratus, jauh melepasi sasaran asal sebanyak 85 peratus.

Pencapaian itu meliputi Operasi Haji Tanah Air Fasa 1 sebanyak 97 peratus, Madinah (95 peratus), Mekah termasuk Masya’ir (85 peratus) serta Operasi Haji Tanah Air Fasa 2 sebanyak 96 peratus.

Menurut Mustakim, kejayaan itu membuktikan kesungguhan petugas haji yang sentiasa bekerja dengan disiplin tinggi, mematuhi SOP serta mengutamakan semangat kerja berpasukan demi memastikan kebajikan jemaah sentiasa terpelihara.

Katanya, reputasi cemerlang TH bukan dibina dalam tempoh singkat, sebaliknya lahir daripada pengalaman lebih enam dekad menguruskan perjalanan haji rakyat Malaysia.

“Ramai mungkin tidak mengetahui bahawa perkhidmatan Tabung Haji sebenarnya berada pada tahap bertaraf dunia. Kita telah menerima Anugerah Labaytum daripada Kerajaan Arab Saudi sebanyak empat kali dalam tempoh empat tahun.

“Insya-Allah, kita akan terus berusaha mempertahankan pengiktirafan itu demi memastikan jemaah Malaysia terus menerima perkhidmatan terbaik di Tanah Suci,” katanya.

 

 

Must Watch Video