KOTA SAMARAHAN: Penggunaan kad konsesi BAS.MY kini diperluas kepada pelajar tingkatan enam serta pelatih institut latihan milik kerajaan di seluruh negara, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Beliau berkata sebelum ini tambang percuma tanpa had hanya ditawarkan kepada warganegara Malaysia dalam kategori tertentu, termasuk pelajar sekolah (tujuh hingga 17 tahun), warga emas (60 tahun ke atas) dan Orang Kurang Upaya (OKU) berdaftar.
Bagi pelaksanaan di Kuching dan Samarahan, beliau berkata ia bakal memanfaatkan kira-kira 2,350 pelajar tingkatan enam dan lebih 3,200 pelatih di institut latihan milik kerajaan.
“Hampir 850,000 penumpang telah menggunakan perkhidmatan BAS.MY Kuching, setakat April lepas.
“Langkah ini diharap dapat mengurangkan beban perbelanjaan, selain meningkatkan penggunaan pengangkutan awam dalam kalangan kedua-dua golongan berkenaan,” katanya pada Majlis Perasmian Laluan Baharu Program Transformasi Perkhidmatan Bas Berhenti-Henti Bas.My Kuching, di sini hari ini.
Loke juga memberikan jaminan bahawa tambang BAS.MY akan kekal tidak berubah meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global, dan kadar pas perjalanan bulanan tanpa had sebelum ini telah dikurangkan daripada RM50 kepada RM30.
Beliau berkata tiada sebab untuk tambang dinaikkan kerana kerajaan menanggung subsidi bagi kedua-dua kos bahan api dan operasi di bawah model kontrak dengan pengendali bas.
“Kerajaan tidak berhasrat untuk mendapat keuntungan daripada perkhidmatan ini. Kita mahu lebih ramai orang menggunakan pengangkutan awam kerana ia alternatif yang penting dan mampu milik,” katanya.
Sementara itu, Loke berkata kementerian menerusi Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) Sarawak memperkenalkan enam laluan baharu perkhidmatan BAS.MY di bandar raya Kuching serta kawasan sekitarnya.
"Laluan ini telah mula beroperasi pada 1 April lepas, iaitu laluan Q11 (Arang Road), Q12 (Taman Hui Sing), Q13 (Siburan), Q14 (Summer Mall), Q15 (Stutong Baru/Kuching Sentral) dan Q16 (Taman Sukma).
“Pelancaran laluan baharu ini bukan sahaja bertujuan meningkatkan liputan perkhidmatan bas, malah memastikan rakyat mendapat akses kepada pengangkutan yang lebih cekap, selesa dan boleh dipercayai,” katanya.
Beliau berkata kerajaan sedang merancang fasa kedua peluasan BAS.MY, yang akan menumpukan kepada bandar-bandar sekunder seperti Sibu dan Bintulu, dalam masa terdekat.
-- BERNAMA