SEREMBAN: Jabatan Pendidikan Negeri Sembilan (JPNS) tidak berkompromi terhadap sebarang salah laku melibatkan jenayah dan pelanggaran undang-undang khususnya melibatkan warga pendidik, susulan penahanan seorang guru yang didakwa atas kesalahan berkaitan dadah, pada Sabtu.
JPNS dalam satu kenyataan semalam memaklumkan, maklumat berhubung penahanan suspek berkenaan telah diterima, serta akan mengambil tindakan sewajarnya selaras dengan peruntukan undang-undang dan prosedur yang berkuat kuasa.
"JPNS akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam siasatan yang sedang dijalankan, di samping melaksanakan siasatan dalaman dan mengambil tindakan tatatertib selaras dengan peraturan perkhidmatan awam," menurut kenyataan itu, di sini semalam.
Polis menahan seorang guru lelaki berusia 41 tahun di sebuah rumah sekitar daerah ini pada petang Sabtu kerana dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah.
-- BERNAMA