Skip to main content

Malaysia

Johor sasar 1,342 kekosongan di Hospital Pasir Gudang diisi September ini - Exco

51697253857_LingTianSoon.jpg
Tian Soon berkata setakat ini hanya 41 peratus daripada keseluruhan 2,271 perjawatan telah diisi melibatkan 929 petugas. - Gambar fail

JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor menyasarkan baki 59 peratus atau 1,342 kekosongan perjawatan di Hospital Pasir Gudang (HPG) dapat diisi sepenuhnya menjelang September ini secara berfasa bagi memastikan pengoperasian hospital berkenaan dapat dipertingkatkan kepada tahap optimum.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar negeri Ling Tian Soon berkata setakat ini hanya 41 peratus daripada keseluruhan 2,271 perjawatan telah diisi melibatkan 929 petugas. 

Tian Soon berkata hospital itu kini beroperasi dengan kapasiti sedia ada, di samping menumpukan kepada usaha pengisian tenaga kerja bagi membolehkan semua wad dibuka sepenuhnya.

“Buat masa ini, HPG telah beroperasi melibatkan 14 perkhidmatan klinikal contohnya jabatan kecemasan, pembedahan am, pediatrik dan ortopedik. HPG mempunyai 304 katil dan hanya 157 katil dalam sembilan daripada 14 wad beroperasi pada ketika ini (susulan kekurangan tenaga kerja).

“Justeru, kami menyasarkan pada September tahun ini kita keseluruhan katil boleh beroperasi (selepas proses pengisian perjawatan dilaksanakan),” katanya pada sidang media di luar persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor di Bangunan Sultan Ismail, Kota Iskandar, di sini hari ini.

Beliau berkata kerajaan negeri bersama Kementerian Kesihatan (KKM) sedang memperkukuh usaha menyalurkan petugas kesihatan termasuk pegawai perubatan, pembantu perubatan dan jururawat secara berperingkat.

Isu pengoperasian HPG ini turut mendapat perhatian Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail yang bertitah pada pembukaan sidang DUN Khamis lepas supaya proses pengoperasian hospital berkenaan dipercepat demi kepentingan dan keperluan rawatan kesihatan rakyat. 

Tian Soon turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Tunku Mahkota Ismail atas keprihatinan baginda dalam membangkitkan isu berkenaan, sekali gus memacu usaha kerajaan negeri untuk memperkasakan lagi sistem penyampaian kesihatan. 

-- BERNAMA

 

Must Watch Video