JOHOR BAHRU: Kerajaan Negeri Johor mengguna pakai pendekatan yang direka khusus mengikut keperluan bagi memenuhi permintaan dan menarik pelaburan terutamanya di bawah Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).
Penasihat Ekonomi dan Pelaburan Johor, Datuk Seri Hasni Mohammad berkata, perkara itu meliputi aspek keperluan tenaga kerja atau bakat berkemahiran.
“Setiap permintaan pelabur itu kita sesuaikan, berapakah jumlah bakat yang diperlukan dan dalam bidang kepakaran apakah yang mereka cari?, kita ada (contohnya) menerusi Johor Talent Development Council (JTDC),” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Raya Bersama Anak Yatim dan Asnaf di Hotel Grand Paragon, di sini, pada Ahad.
Beliau yang juga Pengerusi Eksekutif Pejabat Ekonomi, Pelancongan dan Budaya Johor di Singapura (JETCO) berkata, langkah berkenaan sekali gus dapat menangani ketidakpastian pelabur terhadap sesuatu aspek yang menjadi kebimbangan mereka sekiranya ingin melabur di negeri ini.
Sehubungan itu, katanya, kerajaan negeri sentiasa bekerjasama dengan agensi terlibat bagi menyokong keperluan berkenaan.
Terdahulu, Hasni ketika berucap berkata pelaksanaan JS-SEZ membolehkan Malaysia dan Johor khususnya menjadi rakan ekonomi yang kuat bersama-sama Singapura.
“Singapura mempunyai kekuatan dari segi tenaga pakar sementara Johor ada kawasan yang luas dan tenaga kerja yang jauh lebih ramai, kita harap kerjasama ini akan terus memberi manfaat kepada kedua-dua negara,” katanya.
Bagaimanapun, beliau memberitahu, dasar yang dilaksanakan di bawah JS-SEZ perlu memberi manfaat kepada pelabur.
Pengarah Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) di Singapura, T. Vinothan sebelum ini dilaporkan berkata, kerjasama kukuh pelbagai pihak berkepentingan bertunjangkan pendekatan ekosistem holistik dijangka mempercepat perubahan ekonomi Johor, khususnya menerusi JS-SEZ.
Beliau berkata, penyelarasan antara kerajaan, penggiat industri serta pelabur adalah kritikal dalam usaha memastikan pelaksanaan inisiatif berjalan dengan lancar merangkumi pelaburan, bakat dan perubahan digital.
-- BERNAMA