Skip to main content

Malaysia

JKDM Pulau Pinang serbu gudang simpan rokok, minuman keras tidak bercukai

PRAI, 15 April -- Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang, Datuk Rohizad Ali (tengah) mengadakan sidang media mengenai pembongkaran kegiatan menyeludup rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM3.6 juta selepas menyerbu ke sebuah gudang di Berapit, Bukit Mertajam pada 13 Mac lepas.  --fotoBERNAMA
Pengarah JKDM Pulau Pinang, Datuk Rohizad Ali (tengah) mengadakan sidang media mengenai pembongkaran kegiatan menyeludup rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM3.6 juta di sini hari ini. - Foto Bernama

BUTTERWORTH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pulau Pinang membongkar kegiatan menyeludup rokok dan minuman keras tidak bercukai bernilai RM3.6 juta selepas menyerbu sebuah gudang di Berapit, Bukit Mertajam pada 13 Mac lepas.

Pengarah JKDM negeri Datuk Rohaizad Ali berkata serbuan dilakukan pada 9 pagi oleh sepasukan pegawai Bahagian Penguatkuasaan menerusi Ops Petasan susulan maklumat awam dan intipan sejak dua bulan lepas.

“Hasil pemeriksaan telah menemukan 86,800 batang rokok putih dan kretek serta 55,606.51 liter minuman keras jenis bir dan minuman keras pelbagai jenama, dengan nilai keseluruhan termasuk cukai bernilai RM3.6 juta.

“Ketika serbuan premis didapati kosong dan tidak berpenghuni. Usaha sedang dijalankan bagi mengesan pemiliknya,” katanya pada sidang media di Kompleks Pencegahan Kastam Perai, di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Rohaizad berkata sindiket menjadikan premis terbabit sebagai lokasi transit penyimpanan sebelum diedarkan dipercayai untuk pasaran tempatan.

Beliau berkata rokok dan minuman keras diklasifikasikan sebagai barang larangan import di bawah Bahagian II Jadual Ketiga, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023. 

Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 135 (1)(d) Akta Kastam 1967.

-- BERNAMA

 

TAG: Rohizad Ali, JKDM, rokok, minuman keras, membongkar

Must Watch Video