Skip to main content

Malaysia

JKDM Perak gagalkan cubaan seludup pelbagai barangan bernilai RM2.4 juta

IPOH, 1 April -- Pengarah Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak, Mohd Nadzri Ariffin (dua, kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media di sini hari ini.  JKDM Perak menggagalkan lima cubaan menyeludup pelbagai barangan termasuk basikal elektrik dengan anggaran nilai termasuk duti dan cukai sebanyak RM2.4 juta dalam serbuan di beberapa lokasi pada Januari dan Februari lepas.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mohd Nadzri (dua, kiri) menunjukkan barang rampasan pada sidang media hari ini. - Gambar Bernama

IPOH: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Perak menggagalkan lima cubaan menyeludup pelbagai barangan termasuk basikal elektrik dengan anggaran nilai termasuk duti dan cukai sebanyak RM2.4 juta dalam serbuan di beberapa lokasi pada Januari dan Februari lepas.

Pengarah JKDM Perak Mohd Nadzri Ariffin berkata pada 14 Jan, Cawangan Penguatkuasaan JKDM Teluk Intan menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, Selangor, dan hasil pemeriksaan lanjut menemukan 801 karton jubin porselin yang diikrarkan sebagai jubin simen.

Beliau berkata nilai sitaan termasuk duti dan cukai dianggarkan sebanyak RM964,290.

Susulan itu, beliau berkata seorang lelaki berusia 35 tahun ditahan dan kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) Akta Kastam 1967.

Dalam operasi berasingan, Mohd Nadzri berkata pada 27 Jan, pihaknya menahan sebuah kontena di Pelabuhan Klang, dan hasil pemeriksaan menemukan sejumlah 765 guni beras seberat 22.9 tan.

"Semakan ke atas dokumen kastam mendapati dagangan yang diikrarkan ialah kacang dal, yang dianggarkan bernilai RM307,316.40," katanya pada sidang media, di sini hari ini.

Beliau berkata seorang lelaki berusia lingkungan 70-an ditahan bagi membantu siasatan Seksyen 133(1)(a) akta yang sama.

Sementara itu, Mohd Nadzri berkata pada 12 Feb pula, Bahagian Penguatkuasaan Ipoh yang melakukan pemeriksaan ke atas dua kontena di Pelabuhan Klang menemukan sejumlah 49,343 kilogram produk daging sejuk beku, iaitu babi dan ayam diikrarkan sebagai frozen dumpling.

Nilai dianggarkan termasuk duti dan cukai berjumlah RM645,573.87, dan kes disiasat di bawah Seksyen 133(1)(a) akta yang sama.

Selain itu, Mohd Nadzri berkata pada 9 Feb, Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu yang membuat pemeriksaan ke atas dua kontena di Pelabuhan Klang menemukan 418 unit basikal elektrik, yang dipercayai diikrar tidak benar.

"Seorang pengurus syarikat pengimport ditahan bagi membantu siasatan lanjut di bawah Seksyen 133(1)(a) akta yang sama," katanya sambil menambah nilai barangan yang dirampas dianggarkan RM358,244.27.

Pada 21 Jan lepas, Cawangan Penguatkuasaan Pengkalan Hulu yang membuat pemeriksaan ke atas sebuah lori di Jalan Lenggong-Gerik mendapati beras diseludup dibawa masuk dari negara jiran tanpa permit, dengan menggunakan laluan tidak sah atau pengkalan haram.

Susulan itu, beliau berkata pemandu lori berusia 28 tahun serta kelindannya berumur 30 tahun ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 135 (1) (e) Akta Kastam 1967, yang melibatkan jumlah duti dan cukai dagangan bernilai kira-kira RM125,126.

-- BERNAMA

Must Watch Video