ALOR SETAR: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Kedah merampas dadah jenis ekstasi dan syabu melebihi 46 kilogram (kg) dianggarkan bernilai lebih RM3.9 juta dalam satu rampasan di Jalan Kota Kuala Muda dekat Sungai Petani pada 21 Feb lepas.
Pengarah JKDM Kedah Wan Marini Wan Hamzah berkata bertindak atas maklumat risikan dan pemantauan selama tiga bulan, sepasukan pegawai JKDM dari Cawangan Penguatkuasaan Marin Langkawi dan Tanjung Dawai mengekori sebuah kereta sedan pada 8.30 malam.
“Pasukan telah mengarahkan kereta yang dipandu seorang lelaki warga Indonesia berusia 40-an yang disyaki membawa barang larangan itu untuk memberhentikan kenderaan, namun suspek enggan memberi kerjasama.
“Pasukan memintas kereta suspek, bagaimanapun suspek melompat keluar daripada kenderaan yang masih bergerak dan melarikan diri menerusi pintu sebelah kiri bahagian hadapan,” katanya pada sidang media di Pejabat JKDM Kedah di sini hari ini.
Beliau berkata hasil pemeriksaan menemukan beberapa bungkusan beg mengandungi dadah jenis ekstasi seberat 15.72 kg dan syabu seberat 30.90 kg di ruang tempat duduk belakang.
“Kami percaya dadah dari negara jiran ini dibawa menerusi laluan laut menggunakan jeti haram sebelum dibawa ke darat, dan menggunakan kereta untuk diedarkan ke pasaran gelap sekitar utara Semenanjung.
“Sekiranya dadah ini terlepas ke pasaran, ia boleh digunakan oleh 500,000 penagih. Hasil siasatan juga mendapati suspek menggunakan kereta sewa untuk menjalankan aktiviti ini dan pemilik kereta juga telah disoal siasat bagi membantu kes yang disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Dalam pada itu, Wan Marini berkata orang ramai digesa membantu JKDM untuk memerangi jenayah penyeludupan, khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah dan lain-lain serta tidak membabitkan diri dengan aktiviti berkenaan.
-- BERNAMA