Skip to main content

Malaysia

JHEAIPP nafi pertandingan bola sepak Piala TKM1 guna duit masjid

Datuk Marzuki Hassan, Pengarah, Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP). Foto: KERAJAAN NEGERI PULAU PINANG
Marzuki berkata kerajaan negeri telah menyalurkan RM1 juta kepada JHEAIPP bagi 2025 khusus untuk tujuan pengimarahan masjid. - Foto Kerajaan Negeri Pulau Pinang

GEORGE TOWN: Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) menafikan dakwaan menggunakan wang kutipan tabung masjid bagi penganjuran pertandingan bola sepak sempena Piala Timbalan Ketua Menteri I (TKM I) Pulau Pinang. 

Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Pulau Pinang (JHEAIPP) Datuk Marzuki Hassan sebaliknya menegaskan pertandingan itu dianjurkan menggunakan peruntukan khas pengimarahan yang disalurkan oleh kerajaan negeri.

Beliau menjelaskan kerajaan negeri telah menyalurkan RM1 juta kepada JHEAIPP bagi 2025 khusus untuk tujuan pengimarahan masjid, dengan agihan melibatkan tujuh masjid di negeri itu dan jumlah sama diperuntukkan pada tahun ini.

“Sebagai satu daripada inisiatif pengimarahan masjid dengan penglibatan anak-anak kariah, JHEAIPP telah mengesyorkan penganjuran Pertandingan Bola Sepak Sempena Piala TKM I Pulau Pinang bagi mengeratkan hubungan anak muda dengan institusi masjid serta memperkukuh ukhuwah sesama anak kariah.,” katanya dalam kenyataan, malam tadi.

Marzuki berkata cadangan penamaan Piala TKM I juga dikemukakan oleh pihak JHEAIPP sendiri memandangkan Timbalan Ketua Menteri I ialah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Hal Ehwal Agama Islam negeri, selaras dengan portfolio disandang.

Bagi menjayakan penganjuran program itu, lima masjid, iaitu Masjid Abdullah Fahim, Masjid Daerah Timur Laut, Masjid Daerah Barat Daya, Masjid Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) dan Masjid Daerah Seberang Perai Selatan (SPS) masing-masing telah menyumbangkan RM6,026.26 daripada peruntukan pengimarahan dengan jumlah keseluruhan sumbangan sebanyak RM30,131.30.

“JHEAIPP ingin menegaskan bahawa penganjuran pertandingan ini sama sekali tidak menggunakan wang kutipan tabung masjid, sebaliknya menggunakan peruntukan khas pengimarahan yang disalurkan oleh kerajaan negeri,” katanya.

Penganjuran program sedemikian adalah sebahagian daripada usaha memperluas fungsi masjid sebagai pusat pembangunan ummah yang menyeluruh, merangkumi aspek rohani, sosial dan pembinaan jati diri generasi muda.

Terdahulu aktivis politik Badrul Hisham Shaharin atau Chegu Bard menerusi satu hantaran dalam Facebook semalam, mendakwa pertandingan bola sepak Piala TKM I Pulau Pinang dianjurkan menggunakan duit masjid.

-- BERNAMA

 

 

Must Watch Video