Skip to main content

Malaysia

Jenazah Mastura Mustafa dikebumi di Tanah Perkuburan Paroi

51408610682_295x200.jpg
Jenazah pramugari Malaysia Airlines, Mastura Mustafa yang merupakan antara mangsa pesawat MH17 akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Paroi esok.

Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan berkata jenazah akan dibawa ke Masjid At-Taqwa setelah selesai Istiadat Penghormatan Jenazah Tragedi MH17 di Kompleks Bunga Raya, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

"Jenazah Allahyarham akan disembahyangkan selepas solat Jumaat. Selepas itu jenazah akan dibawa ke tanah perkuburan untuk dikebumikan," katanya.

Beliau berkata beliau akan hadir di KLIA dan seterusnya mengiringi jenazah  Mastura ke Seremban.

Sebanyak 20 jenazah warga Malaysia (11 beragama Islam, sembilan bukan beragama Islam) yang menjadi mangsa nahas MH17 akan dibawa pulang esok dari Amsterdam dan dijangka tiba di KLIA pada pukul 10 pagi.

Pesawat MH17 dalam perjalanan dari Amsterdam ke Kuala Lumpur dengan  membawa 298 orang termasuk 15 anak kapal apabila ia ditembak jatuh di wilayah Donetsk, timur Ukraine berhampiran sempadan Rusia pada 17 Julai.

Must Watch Video