BINTULU: Jasad seorang lagi kanak-kanak yang lemas ketika mandi di Air Terjun Sungai Plan Lot di sini telah ditemui lewat malam Sabtu.
Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Sarawak, Mohamad Fauzi Mohamat Kifli, berkata pihaknya menerima makluman daripada orang awam bahawa jasad Darren Dakun Paruscrum, 12, ditemui penduduk pada jam 11.19 malam, kira-kira lima meter dari tebing air terjun.
“Mangsa kemudian dibawa naik oleh penduduk dengan bantuan pasukan bomba sebelum diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.
Terdahulu, jasad rakan mangsa, Tristan Mariss Marissa Erna, 12, telah ditemui sekitar jam 5.20 petang.
Kedua-dua mangsa bersama dua rakan lain berusia 13 dan 14 tahun dipercayai mandi di kawasan air terjun berkenaan sekitar jam 2 petang, sebelum kelibat mereka hilang dari permukaan air.
Menurut Fauzi, pihak bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 3.22 petang dan tiba di lokasi tiga minit kemudian.
Selain pencarian di permukaan air, pasukan penyelamat turut mengaktifkan unit skuba untuk melakukan selaman di dasar air terjun sehingga cuaca mula gelap sekitar jam 7 malam.
Tristan Mariss berasal dari Rumah Bettie Alit, Kabong, manakala Darren Dakun dari Rumah Jugah, Kanowit.