PUTRAJAYA: Jabatan Perikanan Malaysia sedang meminda Peraturan-Peraturan Perikanan di bawah Seksyen 27 Akta Perikanan 1985, iaitu Peraturan-Peraturan Perikanan (Pengawalan Spesies Ikan Yang Terancam) 1999 bagi memasukkan sembilan spesies mamalia marin ke dalam senarai perlindungan sedia ada.
Ketua Pengarah Perikanan Malaysia Datuk Adnan Hussain dalam kenyataan hari ini berkata pindaan itu bertujuan memperkukuh aspek kawal selia, perlindungan serta penguatkuasaan undang-undang terhadap sebarang bentuk ancaman termasuk tangkapan sampingan dan gangguan habitat.
Beliau berkata sembilan spesies mamalia marin yang dicadangkan untuk disenaraikan ialah Balaenoptera omurai, Peponocephala electra, Feresa attenuata, Tursiops aduncus, Stenella coeruleoalba, Stenella attenuata, Ziphius cavirostris, Steno bredanensis dan Kogia sima.
Menurut Adnan, kesemua spesies itu terdiri daripada paus dan lumba-lumba yang direkodkan terdapat di perairan Malaysia serta memerlukan pemantauan dan perlindungan tambahan bagi mengelakkan risiko kemerosotan populasi.
"Bersempena Hari Perlindungan Mamalia Marin Antarabangsa, Jabatan Perikanan terus memperkukuh komitmen pemuliharaan mamalia marin negara melalui pembangunan Pelan Tindakan Pengurusan dan Pemuliharaan Dugong Malaysia (NPOA) yang berteraskan dapatan saintifik terkini serta penambahbaikan kerangka perundangan secara menyeluruh dan progresif.
"Dugong (Dugong dugon) adalah spesies penunjuk bagi kesihatan ekosistem marin pesisir dan berkait rapat dengan kelestarian padang rumput laut yang menyokong produktiviti perikanan, perlindungan pantai serta penyimpanan karbon biru," katanya.
Adnan berkata senarai Merah Kesatuan Antarabangsa bagi Pemuliharaan Alam Semula Jadi (IUCN) menegaskan perlunya pelaksanaan pemuliharaan yang bersepadu dan berterusan di peringkat nasional.
Beliau berkata langkah pindaan itu adalah sebahagian daripada pendekatan menyeluruh Jabatan Perikanan dalam memastikan pemuliharaan dugong serta mamalia marin lain dilaksanakan secara bersepadu, selaras dengan agenda biodiversiti negara dan sasaran peluasan kawasan perlindungan marin menjelang 2030.
"Jabatan Perikanan sentiasa komited memperkukuh tadbir urus sumber marin melalui pendekatan berasaskan sains, pemantauan lapangan, penyelidikan serta kerjasama strategik bersama pelbagai pihak berkepentingan," katanya.
Adnan berkata selain memperkukuh perlindungan di peringkat domestik, inisiatif itu turut menyokong pematuhan kepada standard perdagangan antarabangsa termasuk di bawah Akta Perlindungan Mamalia Marin (MMPA) Amerika Syarikat (AS).
"Walaupun Malaysia tidak tertakluk secara langsung kepada undang-undang ini, negara pengeksport produk perikanan ke AS perlu memastikan sistem pengurusan perikanan dan kawalan tangkapan sampingan adalah setara dengan standard perlindungan mamalia marin yang ditetapkan melalui penguatkuasaan oleh Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA)," katanya.
Adnan berkata pendekatan berasaskan ekosistem yang digariskan dalam NPOA akan memberi tumpuan kepada pengurusan ruang marin, pemerkasaan komuniti pesisir, pengurangan risiko tangkapan sampingan serta perlindungan habitat kritikal termasuk padang rumput laut sebagai aset karbon biru negara.
-- BERNAMA