Skip to main content

Malaysia

Isu tambang e-hailing akan dibincang Suruhanjaya Ekonomi Gig - Loke

ANTHONY LOKE PEK RAYA
Anthony Loke menghadiri Majlis Edaran Pek Hari Raya Aidilfitri 2026 Kepada Penumpang KTMB di KL Sentral, pada Selasa. - Astro AWANI/Ikqwan Lee

KUALA LUMPUR: Isu berkaitan tambang perkhidmatan e-hailing akan dibincangkan oleh Suruhanjaya Ekonomi Gig Malaysia (SEGiM) dalam masa terdekat.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook perkara itu akan diteliti secara menyeluruh susulan kebimbangan dibangkitkan kumpulan pemandu e-hailing berhubung ketiadaan dasar bagi menyelia kadar tambang minimum ketika ini.

"Kalau ada sebarang perubahan dasar, akan ada implikasinya juga, termasuk yang negatif. Apa-apa pun SEGiM sudah ditubuhkan.

"Berkenaan dengan komisen, kadar tambang dan sebagainya, itu akan dibincangkan di peringkat SEGiM nanti," jelas Loke.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas menghadiri Majlis Edaran Pek Hari Raya Aidilfitri 2026 Kepada Penumpang KTMB di KL Sentral, pada Selasa.

Sebelum ini, sebuah kumpulan pemandu e-hailing menggesa kerajaan mengawal selia struktur harga perkhidmatan e-hailing, dengan alasan undang-undang sedia ada membenarkan syarikat menetapkan tambang secara bebas.

Kumpulan itu turut memberi amaran bahawa ketiadaan kadar lantai menyebabkan pemandu terdedah kepada risiko eksploitasi selain berdepan tekanan ekonomi yang semakin meningkat.

Pada tahun lalu, Kementerian Pengangkutan sudah menjalankan satu kajian bagi menilai keperluan pengawalseliaan tambang e-hailing.

Kajian tersebut dibuat berdasarkan dapatan dan syor dalam Pelan Strategik Pengangkutan Awam Darat bagi Lembah Klang.

Ia turut mengambil kira keseimbangan antara kepentingan pemandu, pengguna serta pemain industri.

Must Watch Video