CHERAS: Keinginan seorang wanita hamil yang mengidam ayam gepuk mencetuskan pertengkaran dengan suaminya sebelum lelaki itu bertindak agresif dengan mencekik mangsa, dalam kejadian di Flat Sri Sabah, di sini, Rabu lalu.
Ketua Polis Daerah Cheras, Asisten Komisioner Mohd Rosdi Daud berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 3.30 petang itu, wanita berkenaan yang berada di rumah dikatakan meminta suaminya membelikan ayam gepuk kerana mengidam.
"Namun permintaan itu dipercayai menimbulkan kemarahan suspek yang memaki hamun mangsa dengan menyebut dia membela tiga ekor 'anjing' dalam rumah ini dan menyuruh wanita itu masak sendiri.
"Suspek kemudian bertindak agresif dengan mencekik leher mangsa sebelum mencapai sebilah pisau sayur dan meletakkannya di leher wanita berkenaan.
"Suspek turut menampar muka dan menumbuk kepala mangsa sehingga menyebabkan wanita itu mengalami kecederaan di bahagian kanan leher," katanya dalam kenyataan di sini, pada Isnin.
Mohd Rosdi memberitahu, mangsa yang berusia 34 tahun ketika ini sedang mendapatkan rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM), Cheras dan berada dalam keadaan stabil.