SUNGAI PETANI: Hasrat 21 warga asing untuk menghabiskan waktu santai pada hujung minggu tidak kesampaian apabila mereka ditahan dalam satu operasi penguatkuasaan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kedah di sebuah pusat membeli-belah terkemuka di sini, pada Ahad.
Pengarah JIM Kedah, Mohd Ridzzuan Mohd Zain, berkata operasi yang dikenali sebagai Op Kutip itu dijalankan sekitar jam 12.30 tengah hari, membabitkan pemeriksaan ke atas 127 warga asing.
“Hasil pemeriksaan mendapati 21 individu ditahan kerana gagal mengemukakan pas atau permit yang sah, sekali gus melanggar Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, sebahagian warga asing yang diperiksa bertindak melarikan diri sebaik menyedari kehadiran pasukan penguat kuasa di lokasi.
“Bagaimanapun, cubaan mereka meloloskan diri gagal apabila kawasan operasi telah dikepung dan dikawal rapi oleh anggota penguat kuasa,” katanya.
Mohd Ridzzuan berkata, lokasi pusat membeli-belah itu dipilih susulan menerima aduan daripada orang awam berhubung kehadiran warga asing yang didakwa menimbulkan ketidakselesaan kepada pengunjung, terutama pada hujung minggu.
Beliau turut menegaskan bahawa tidak semua warga asing yang berada di lokasi berkenaan merupakan pendatang asing tanpa izin (PATI).
“Daripada 127 warga asing yang diperiksa, hanya 21 didapati melanggar peruntukan Akta Imigresen 1959/63,” katanya.
Dalam pada itu, beliau menegaskan JIM Kedah akan terus mempergiatkan operasi penguatkuasaan dan pemeriksaan berkala di seluruh negeri bagi membanteras isu kebanjiran PATI serta memastikan pematuhan undang-undang imigresen negara.