Skip to main content

Malaysia

Identiti tiga beranak maut kemalangan dikenal pasti

Kemalangan Maut foto Keluarga Mangsa
Keadaan kenderaan yang terlibat dalam nahas di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau. - Foto BERNAMA

DUNGUN: Polis mengenal pasti identiti tiga beranak yang maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan di Kilometer 59, Jalan Jerangau-Jabor berhampiran Felda Jerangau, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Dungun Superintenden Maizura Abdul Kadir berkata mangsa ialah pemandu SUV jenis Perodua Aruz, Nurul Hafizah Shaary, 39, dan anaknya Muhammad Redzuan Arash Mohamad Redzuan, 13, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian dalam kemalangan yang berlaku pada 6 petang.

Beliau berkata seorang lagi anak mangsa, Nur Radya Athalia, 4, pula disahkan meninggal dunia setibanya di Klinik Kesihatan Jerangau di sini.

“Sementara itu dua lagi anak Nurul Hafizah, iaitu Nur Raesha Amanda,14, dan Nur Rakhis Aral Yn, 9, mengalami kecederaan parah dan telah dikejarkan ke Hospital Dungun untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Maizura berkata ketika kejadian Nurul Hafizah yang bekerja sebagai ejen sebuah syarikat penapis air dan udara dalam perjalanan dari Jerangau ke Ajil, Hulu Terengganu bersama empat anaknya.

Beliau berkata kemalangan dipercayai berlaku apabila SUV dipandu mangsa hilang kawalan sebaik tiba di lokasi kejadian sebelum terbabas ke laluan bertentangan, seterusnya melanggar paip air dan merempuh tiang elektrik di sebelah kanan jalan.

Ketiga-tiga mayat dibawa ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk bedah siasat.

“Kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Sementara itu, adik Nurul Hafizah, Mohd Saddam, 33, berkata kemalangan itu berlaku ketika Nurul Hafizah yang menetap di Ajil dalam perjalanan pulang daripada majlis perkahwinan adik bongsu mereka di sini semalam.

Dia berkata pada majlis berkenaan kakaknya kelihatan begitu ceria dan mesra malah sempat bergurau senda dengan ahli keluarga yang hadir.

“Saya amat terkejut dan luluh hati apabila menerima berita kakak maut bersama dua anaknya selepas SUV yang dinaiki mereka terlibat dalam kemalangan hanya beberapa jam selepas kami bersama,” katanya ketika dihubungi.

-- BERNAMA

 

 

 

 

Must Watch Video