LEMBAGA Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL) terus mengiktiraf media sebagai rakan strategik utama dalam menyampaikan maklumat percukaian secara tepat, konsisten dan bertanggungjawab kepada masyarakat.
Selaras dengan komitmen ini, hampir 120 pengamal media daripada agensi media cetak, penyiaran televisyen dan radio, portal berita dalam talian, serta agensi kreatif dan digital diraikan pada Majlis Iftar dan Apresiasi Media 2026 yang berlangsung di The Westin Hotel, Kuala Lumpur.
Penganjuran majlis ini merupakan inisiatif strategik HASiL untuk memperkukuh hubungan baik dengan pengamal media dalam menyampaikan maklumat percukaian kepada masyarakat secara tepat dan konstruktif.
Melalui liputan dan naratif positif media, peranan HASiL sebagai institusi percukaian negara dapat dijelaskan dengan lebih berkesan, membolehkan masyarakat memahami tanggungjawab, hak dan manfaat kepatuhan cukai.
Datuk Abu Tariq Jamaluddin, Ketua Pegawai Eksekutif HASiL meluangkan masa beramah mesra dengan pengamal media dan turut dihadiri oleh barisan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif serta pengurusan kanan HASiL.

Berucap pada majlis tersebut, Abu Tariq, menekankan peranan media sebagai jambatan antara HASiL dan rakyat dalam menyampaikan setiap dasar, inisiatif dan mesej pematuhan cukai secara tepat, mudah difahami dan berimbang.
Beliau turut merakamkan penghargaan setinggi-tingginya kepada rakan media yang sentiasa memberikan laporan yang membina dan positif, sekali gus membantu menangani sebarang kekeliruan atau maklumat yang tidak tepat di ruang awam.
“Sokongan padu media sepanjang tiga dekad ini telah menjadi pemangkin kepada peningkatan literasi cukai masyarakat serta membina keyakinan teguh terhadap sistem percukaian negara,” tambah beliau.
Selain itu, majlis ini diadakan sempena sambutan ulang tahun ke-30 HASiL sebagai
institusi percukaian negara pada 1 Mac lalu.
Tiga dekad kejayaan HASiL adalah cerminan kepada hubungan akrab yang terjalin dengan pihak media sejak HASiL ditubuhkan pada tahun 1996. Simbolisme 30 tahun ini menggambarkan evolusi bersama dalam memperkukuhkan ekosistem percukaian negara.
Dengan semangat Ramadan Al-Mubarak yang diraikan dalam majlis ini, diharap menjadi pemangkin kepada hubungan lebih kukuh dan dinamik antara HASiL dan media demi kesejahteraan negara.
Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (HASiL)