Skip to main content

Malaysia

Hanya Asnida beri keterangan kepada SPRM, tiga lagi anak Daim tidak kelihatan

PUTRAJAYA, 6 April -- Anak bekas Menteri Kewangan Allahyarham Tun Daim Zainuddin, Asnida tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini bagi memberi keterangan berhubung siasatan SPRM.  Asnida yang ditemani peguam tiba pada 9.50 pagi susulan notis dikeluarkan untuk hadir ke pejabat SPRM baru-baru ini.  Bagaimanapun, tiga lagi anak Allahyarham iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin difahamkan masih belum tiba di Ibu Pejabat SPRM.  Pada 28 Feb, SPRM
Asnida tiba di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Putrajaya pagi tadi bagi memberi keterangan berhubung siasatan SPRM. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Hanya seorang daripada empat anak bekas Menteri Kewangan, Allahyarham Tun Daim Zainuddin yang dilihat hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini, pada Isnin.

Setakat pukul 3 petang, hanya Asnida Abdul Daim yang tampil memberi keterangan selepas tiba di Ibu Pejabat SPRM pada kira-kira  9.50 pagi.

Ketika ini proses merekod keterangan masih lagi berjalan.

Juga difahamkan peguam Asnida tidak dibenarkan masuk pada sesi itu.

Tiga lagi anak Daim iaitu Md Wira Dani, Muhammed Amir Zainuddin dan Muhammed Amin Zainuddin masih belum kelihatan.

Pada 27 Februari lalu, dalam satu kenyaatan SPRM memaklumkan  mengeluarkan Notis Kesan Individu terhadap empat anak Allahyarham Daim susulan kegagalan memberi maklum balas serta tidak mematuhi dua notis rasmi yang diserahkan sebelum ini.

Siasatan Op Godfather dijalankan mengikut Seksyen 23 dan Seksyen 36 Akta SPRM 2009 serta Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

SPRM juga menjelaskan Notis Kesan Individu yang dikeluarkan pihaknya terhadap empat individu itu bukan satu bentuk hukuman atau senarai dikehendaki.

Sebaliknya kata SPRM, ia merupakan mekanisme prosedural bagi mengesan dan memastikan kehadiran individu untuk membantu siasatan.

Menurut SPRM, siasatan terhadap Allahyarham Daim dan keluarganya bermula selepas pendedahan Pandora Papers pada 2021 oleh International Consortium of Investigative Journalists (ICIJ) yang mendakwa kewujudan syarikat dan aset luar pesisir yang dikaitkan dengan mereka serta sekutu perniagaan Allahyarham Daim.

Menurutnya, maklumat itu menjadi asas kepada risikan awal dan pembukaan kertas siasatan oleh SPRM pada 2023.

Sepanjang tempoh Jun 2023 hingga November 2023, SPRM menyerahkan notis-notis mengikut Seksyen 36(1)(a) dan 36(1)(b) Akta SPRM 2009 kepada Allahyarham Tun Daim, Toh Puan Na'imah Abdul Khalid dan anak-anak mereka bagi tujuan pengisytiharan harta.

Must Watch Video