Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0: PM Anwar dan Menteri Luar gerakkan usaha bebaskan 29 peserta Malaysia - SNCC

Astro AWANI
Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby menunjukkan lokasi kesemua bot ditahan oleh rejim Zionis Israel pada 18 dan 19 Mei lalu. - Foto Astro AWANI.

SEPANG: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan kini sedang menggerakkan usaha diplomatik untuk membebaskan 29 peserta dari Malaysia yang menyertai misi Global Sumud Flotilla 2.0.

Ketua Pengarah Pusat Kawalan Sumud Nusantara (SNCC), Datuk Sani Araby berkata usaha tersebut yang digerakkan melalui Wisma Putra bertujuan untuk meningkatkan tekanan antarabangsa terhadap rejim Israel yang menahan peserta GSF 2.0 pada 18 dan 19 Mei lalu.

“Usaha sedang digerakkan secara giat dan berterusan melalui kerjasama rapat dengan negara-negara sahabat bagi memastikan semua aktivis dibebaskan dengan segera,” katanya semasa sidang media di sini, hari ini.

Sani turut menyambut baik ketegasan Kerajaan Malaysia yang mengecam keras insiden pencerobohan yang dilakukan oleh rejim Zionis terhadap misi kemanusiaan GSF 2.0 menuju ke Gaza di perairan antarabangsa.

Pada masa sama, Sani turut mengumumkan tanda pagar #IsraelBacul sebagai kempen untuk rakyat Malaysia menzahirkan bantahan terhadap rejim Zionis.

Tambahnya, sokongan rakyat Malaysia amat kritikal melalui penganjuran solat hajat perdana di masjid, Qunut Nazilah, dan munajat berterusan tanpa henti demi keselamatan delegasi Malaysia dan keruntuhan tembok kezaliman di Gaza.

Semalam, GSF memaklumkan kesemua 50 bot misi itu dipintas rejim Zionis di timur Mediterranean pada 18 dan 19 Mei, menyebabkan 428 aktivis dari lebih 40 negara ditahan termasuk 29 delegasi Malaysia yang menyertai 18 bot berkenaan.

Untuk rekod, sebanyak 54 buah kapal GSF 2.0 mula berlepas dari Pelabuhan Marmanis, Turkiye ke Gaza pada 14 Mei lalu.

Pada 30 April, sekurang-kurangnya 22 kapal GSF 2.0 dipintas oleh tentera rejim Zionis di perairan antarabangsa berhampiran Crete, Greece sebelum dilepaskan di negara yang sama pada 2 Mei.

Dalam operasi haram itu, 10 rakyat Malaysia dilaporkan antara peserta yang ditahan atau terputus hubungan selepas kapal mereka dinaiki tentera rejim.


 

Must Watch Video

Advertisement