SEREMBAN: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun tidak menolak kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri itu akan diadakan tahun ini.
Beliau berkata, bagaimanapun keputusan itu bergantung kepada kesesuaian semasa.
"Kita tengoklah keadaan. Kita rasa Pilihan Raya Umum pun dah dekat. Tapi saya tak menolak kemungkinan PRN tahun ini, kemungkinan tahun depan... Insya-Allah.
"Saya pun rasa cantik diadakan sekarang atau cantik akan datang.... semua cantik," katanya pada sidang akhbar selepas mempengerusikan Mesyuarat Exco di Wisma Negeri pada Rabu.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan pemberita berkenaan kemungkinan PRN Negeri Sembilan akan diadakan dalam waktu terdekat.
Aminuddin yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) negeri itu turut memaklumkan bahawa pihaknya akan turut mengambil kira pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) oleh negeri jiran seperti Melaka dan Johor yang sepatutnya dibuat lebih awal.
Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan PRN Negeri Sembilan akan disekalikan dengan dua negeri berkenaan.
"Kita tengoklah kesesuaian, rakan-rakan jiran kita bila mereka adakan pilihan raya. Mungkin kita sekalikan saja dan itu antara yang kita akan timbang," katanya.
Ditanya sama ada PH negeri berkenaan akan bertanding secara solo, beliau berkata, perkara tersebut akan diputuskan oleh pucuk pimpinan parti.
Namun beliau memberitahu banyak pandangan yang mahukan mereka bergerak sendiri.
"Selalu saya cakap, kita di peringkat negeri ini kena akurlah apa juga keputusan di peringkat Persekutuan, setelah berunding, berbincang demi kebaikan semua.
"Tapi banyak pandangan suruh kita berbanding solo. Tapi politik ini hari ini lain, esok ia berubah. Dulu kita kawan, lepas itu boleh jadi tak kawan," katanya. - Sinar Harian