Skip to main content

Malaysia

GSF 2.0: 54 kapal berlepas dari Turkiye babitkan 29 peserta Malaysia, lagi sehari tiba di zon kuning

Sumud Nusantara
Ketua Pengarah Sumud Nusantara Conmand Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, mereka dijangka memasuki zon kuning atau kawasan berisiko tinggi dalam tempoh 28 jam dari sekarang. - Astro AWANI

SEPANG: Sebanyak 54 buah kapal Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0 mula berlepas dari Pelabuhan Marmanis, Turkiye ke Gaza pada Khamis dengan membabitkan 29 peserta dari Malaysia.

Ketua Pengarah Sumud Nusantara Command Center (SNCC), Datuk Sani Araby Abdul Alim berkata, mereka dijangka memasuki zon kuning atau kawasan berisiko tinggi dalam tempoh 28 jam dari sekarang.

“Pelayaran telah memasuki fasa akhir dengan 54 buah kapal mula berlepas dari Pelabuhan Marmanis, Turkiye pada 14 Mei kira kira jam 7.30 malam waktu Malaysia menuju ke Gaza.

“Seramai 29 rakyat Malaysia turut meneruskan pelayaran dalam misi berkenaan bersama peserta dari negara lain termasuk Indonesia, Pakistan, India, Sri Lanka dan Filipina.

"Delegasi Malaysia terdiri daripada dua penganjur, dua kapten, lima pembantu kapten, lima kru, 11 pegawai perubatan, seorang kru dokumentasi, dua peserta umum dan seorang juruteknik," katanya dalam sidang media khas, di sini, pada Khamis.

Katanya, misi itu membabitkan hampir 500 peserta antarabangsa daripada 45 negara yang digerakkan pelbagai kumpulan aktivis kemanusiaan dunia.

"Pelayaran fasa akhir ini berlaku sehari sebelum peristiwa Nakba pada 15 Mei 1948,” ujarnya.

Beliau berkata, SNCC turut mengubah radius zon keselamatan susulan penilaian risiko semasa di perairan operasi yang disifatkan jauh lebih tegang dan berisiko berbanding tahun lalu.

Katanya, laluan dari Marmaris hingga 30 batu nautika diklasifikasi sebagai zon hijau, manakala kawasan antara 30 hingga 150 batu nautika diletakkan di bawah zon kuning.

“Laluan bermula 150 batu nautika hingga memasuki perairan Gaza dikategorikan sebagai zon merah yang membawa tahap risiko keselamatan paling kritikal sepanjang misi ini berlangsung,” katanya.

Beliau memaklumkan, satu pelan tindakan strategik berskala besar akan diumumkan pada Jumaat melibatkan mobilisasi rakyat, pengukuhan tekanan diplomatik antarabangsa, gerakan solidariti media serta tindakan perundangan global bagi memastikan isu ini dibawa ke muka pengadilan.

Tegas beliau, misi kali ini bukan sekadar penghantaran bantuan kemanusiaan, sebaliknya usaha antarabangsa untuk memecahkan kepungan serta menamatkan sikap membisu dunia terhadap konflik di Gaza.

Beliau turut mendakwa, sebarang tindakan memintas atau menahan kapal di perairan antarabangsa akan dijadikan bukti tambahan untuk dibawa ke Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC).

Must Watch Video