KUALA LUMPUR: Fenomena gerhana bulan penuh yang menyaksikan bulan berubah warna menjadi merah pada malam Ramadan tahun ini disifatkan sebagai kejadian astronomi yang unik dan jarang berlaku di negara ini.
Ketua Penolong Pengarah Planetarium Negara Nur Fazilah Mohamad Hanafiah berkata sepanjang berkhidmat di institusi tersebut, ini merupakan kali pertama fenomena gerhana bulan penuh berlaku pada Ramadan.
"Sebelum ini pernah berlaku gerhana matahari, tetapi untuk gerhana bulan penuh ini adalah yang pertama," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Balai Cerap Planetarium Negara di sini hari ini.
Beliau berkata fenomena gerhana bulan penuh itu bagaimanapun tidak dapat dilihat sepenuhnya di ibu negara kerana faktor cuaca.
"Walaupun dilitupi awan tebal, pengunjung di Planetarium Negara masih berpeluang menyaksikan fasa gerhana separa buat seketika apabila litupan awan mula menipis," katanya.
Nur Fazilah berkata fasa gerhana telah bermula seawal 4.44 petang tadi menerusi fasa gerhana penumbra atau bayang lebih cerah, iaitu apabila bulan mula memasuki bayang bumi.
Beliau berkata fasa seterusnya bermula pada 5.50 petang apabila bulan memasuki bayang umbra atau bayang paling gelap bumi, sebelum mencapai fasa gerhana penuh pada 7.33 malam.
"Bagi penduduk di Semenanjung Malaysia, fenomena ini hanya dapat dilihat bermula 7.26 malam, manakala di Sabah, warga di sana lebih bertuah kerana dapat menyaksikannya lebih awal sekitar 6.30 petang, diikuti Sarawak pada 7 malam," katanya.
Meskipun fasa gerhana penuh tidak kelihatan dengan jelas di lokasi cerapan tertentu akibat cuaca mendung, orang awam tetap setia menunggu di kawasan balai cerap bagi mengikuti perkembangan fenomena itu termasuk melalui siaran langsung di skrin yang disediakan.
Sebelum ini, Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) memaklumkan fenomena gerhana bulan penuh berikutnya dijangka berlaku pada 31 Dis 2028.
Tinjauan di Planetarium Negara di sini mendapati orang ramai tidak melepaskan peluang hadir membawa makanan untuk berbuka puasa sambil menunggu detik cerapan menggunakan teleskop yang disediakan serta siaran langsung cerapan dalam talian.
"Sehingga waktu ini, sambutan amat menggalakkan. Ramai pengunjung datang bersama keluarga untuk melihat sendiri pergerakan bulan melalui teknologi teleskop kami," kata Nur Fazilah.
Seorang pengunjung, Wan Nurhanim Wan Mansor, 44, dari Seri Kembangan, Selangor mengambil peluang membawa keluarganya untuk menyaksikan fenomena itu secara dekat.
Ibu kepada empat anak itu berkata meskipun fenomena "bulan merah" tidak kelihatan sepenuhnya akibat faktor cuaca, pengalaman melihat kejadian itu secara langsung melalui teleskop tetap memberikan impak pembelajaran yang lebih mendalam kepada anak-anaknya.
"Saya ambil kesempatan ini untuk memberi pendedahan ilmu kepada mereka. Sebelum ini, mereka hanya menonton di skrin, tetapi malam ini mereka dapat merasai sendiri suasana di balai cerap meskipun hanya melihat fasa separa.
"Anak-anak saya memang menunjukkan minat yang mendalam dalam bidang ini, jadi saya mahu mereka merasai pengalaman menggunakan teleskop dan melihat menggunakan teknologi di sini secara langsung," katanya.
Sementara itu, Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) menerusi hantaran di Facebook menyarankan beberapa masjid di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan mengadakan solat sunat dan khutbah gerhana pada masa berlakunya fenomena tersebut.
-- BERNAMA