SANDAKAN: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Rabu mengumumkan inisiatif penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma serta bantuan pendidikan bernilai RM300 kepada mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, di sini.
Beliau berkata bagi memudahkan urusan mangsa yang kehilangan dokumen, Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) akan digerakkan terus ke Kampung Bahagia, untuk memproses penggantian dokumen yang musnah melalui perkhidmatan bergerak Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).
Melalui inisiatif itu, kerajaan akan menanggung sepenuhnya kos penggantian dokumen pengenalan diri termasuk MyKad, MyKid, Sijil Kelahiran, Sijil Kematian dan Sijil Perkahwinan bukan Islam serta penggantian pasport yang dilakukan Jabatan Imigresen.
“Hilang pasport, kad pengenalan, hilang dokumen (surat) beranak juga (sijil) kahwin, ini masalah dia...saya dah minta, berbincang dengan Menteri Dalam Negeri (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), Jabatan Pendaftaran akan ke sini, sekitar Kampung Bahagia untuk mendaftar.
“Kita kembalikan Sijil Kelahiran, MyKid, MyKad, Sijil Kematian, Sijil Perkahwinan bagi bukan Islam kita berikan dan tampung kosnya, tidak bayar,” kata Anwar kepada pemberita selepas melawat mangsa kebakaran di Pusat Pemindahan Sementara Dewan Projek Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi, pada Rabu.
Turut hadir Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) Datuk Mustapha Sakmud.
Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.
Sementara itu, Anwar berkata bantuan bernilai RM300 akan diberikan kepada 454 murid warganegara Malaysia, daripada 12 sekolah, yang terjejas dalam kejadian kebakaran itu melalui Kementerian Pendidikan.
“Buat bersekolah kita ada bagi setiap anak rakyat Malaysia...RM300 bagi setiap pelajar supaya uniform, buku semuanya boleh ditambah dengan kadar segera. Mungkin ada bantuan lain daripada badan bukan kerajaan, tetapi saya fikir untuk segera kerja pendidikan sediakan RM300.
“Ini bermakna 454 anak warga negara Malaysia yang melibatkan 12 sekolah sekitar ini, akan diberikan berikan bantuan dalam kadar segera,” kata beliau.
Selain bantuan tunai, Anwar turut mengumumkan kelonggaran kepada murid untuk hadir ke sekolah tanpa memakai pakaian seragam buat sementara waktu, bagi memastikan sesi pembelajaran mereka tidak terganggu.
“Saya telah bertanya kepada anak-anak sekolah di sini mengapa mereka tidak hadir ke sekolah dan jawabannya ialah kerana seragam mereka tiada. Oleh itu, mereka diberikan kelonggaran untuk hadir tanpa seragam, sementara Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) mengurus seragam baharu,” kata Perdana Menteri.
Anwar turut menegaskan kerajaan akan memastikan kemudahan logistik termasuk pengangkutan disediakan bagi membolehkan murid terus bersekolah.
-- BERNAMA