TEHRAN: Iran memberi amaran bahawa pembukaan semula Selat Hormuz adalah “tidak mungkin” selagi Amerika Syarikat (AS) meneruskan sekatan ketenteraan ke atas pelabuhan-pelabuhan negara itu.
Kenyataan tersebut disuarakan oleh perunding tertinggi Iran, Mohammad Bagher Ghalibaf, yang berkata tindakan AS merupakan pelanggaran jelas terhadap gencatan senjata antara kedua-dua negara.
Menurut Ghalibaf, pelanggaran itu termasuk sekatan laut oleh tentera AS terhadap pelabuhan Iran serta apa yang disifatkannya sebagai tindakan “menghasut peperangan” oleh Israel di pelbagai medan.
Beliau berkata langkah-langkah itu telah menjejaskan kepercayaan dan memburukkan lagi ketegangan di rantau berkenaan.
Kenyataan tersebut dibuat selepas Iran merampas dua kapal kargo di Selat Hormuz, hanya beberapa jam selepas Presiden AS Donald Trump mengumumkan lanjutan gencatan senjata antara Washington dan Tehran.
Walaupun gencatan senjata dilanjutkan, Trump menegaskan bahawa sekatan laut AS terhadap pelabuhan Iran akan diteruskan, dengan White House menyatakan presiden “berpuas hati” dengan langkah berkenaan.
Presiden Iran, Masoud Pezeshkian, turut menyifatkan sekatan pelabuhan, ancaman berterusan dan pelanggaran komitmen oleh AS sebagai “halangan utama” kepada rundingan yang tulen.
Rundingan damai antara kedua-dua negara dijadualkan bersambung di Pakistan minggu ini, namun setakat ini masih belum bermula, sekali gus menambah ketidaktentuan mengenai masa depan keselamatan Selat Hormuz yang penting kepada perdagangan tenaga global.