Skip to main content

Malaysia

Gangguan perkhidmatan ETS, komuter Batu Caves-Pulau Sebang akibat talian terputus

KTM Berhad
KTMB memaklumkan penumpang tren ETS EP9537 dan EP9579 dari KL Sentral ke JB Sentral pula akan dibawa dengan bas dari KL Sentral dan stesen perantara untuk ke Stesen Gadut dan seterusnya menyambung perjalanan dengan tren ETS untuk ke destinasi. - Gambar KTMB

KUALA LUMPUR: Operasi perkhidmatan tren elektrik (ETS) dan KTM Komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves terjejas akibat kejadian alat talian atas (ATA) terputus di KM 434.423 di antara Stesen Batang Benar-Labu hari ini.

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) dalam kenyataan memaklumkan beberapa pelarasan operasi telah dilaksanakan berikutan insiden berkenaan.

“Perkhidmatan ETS EP9532 dari Johor Bahru (JB) Sentral ke Kuala Lumpur (KL) Sentral akan tamat di Stesen Seremban dan penumpang akan menaiki bas ke KL Sentral dan stesen perantara,” menurut kenyataan itu.

KTMB memaklumkan penumpang tren ETS EP9537 dan EP9579 dari KL Sentral ke JB Sentral pula akan dibawa dengan bas dari KL Sentral dan stesen perantara untuk ke Stesen Gadut dan seterusnya menyambung perjalanan dengan tren ETS untuk ke destinasi.

Bagi perkhidmatan KTM Komuter laluan Batu Caves-Pulau Sebang-Batu Caves, operasi tren yang terlibat ialah Tren Komuter No. 2047 dari Batu Caves ke Pulau Sebang, dan para penumpang akan dibawa dengan bas dari Stesen Batang Benar ke Stesen Seremban.

Perkhidmatan tren Komuter No. 2049 (Batu Caves-Pulau Sebang) pula ditamatkan di Stesen Batang Benar dan penumpang akan diaturkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas.

“Tren Komuter No. 2051 (Batu Caves–Pulau Sebang) akan ditamatkan di Stesen Labu dan penumpang akan diaturkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas.

“Tren Komuter No. 2055 (Batu Caves-Pulau Sebang) akan ditamatkan di Stesen Bangi dan penumpang akan diaturkan untuk meneruskan perjalanan menggunakan perkhidmatan bas,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan dengan itu, perkhidmatan ETS dan KTM Komuter dari arah Pulau Sebang ke KL Sentral akan ditamatkan di Stesen Seremban, manakala perkhidmatan tren dari KL Sentral ke arah Pulau Sebang akan ditamatkan di Stesen Bangi sehingga dimaklumkan kelak.

KTMB memaklumkan penumpang ETS yang terkesan dan tidak ingin meneruskan perjalanan boleh mendapat pemulangan tambang penuh di kaunter tiket dan pasukan teknikal kini sedang giat menjalankan kerja-kerja pemeriksaan dan pemulihan di lokasi kejadian bagi membolehkan perkhidmatan tren kembali beroperasi seperti biasa dalam kadar segera.

“Para penumpang dinasihatkan untuk merancang perjalanan masing-masing serta mendapatkan maklumat terkini melalui saluran rasmi KTMB termasuk media sosial rasmi KTMB dan daripada kakitangan stesen yang bertugas,” menurut kenyataan itu.

KTMB turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran serta kerjasama para penumpang sepanjang tempoh gangguan ini.

-- BERNAMA

 

Must Watch Video