Skip to main content

Malaysia

Ganggu ucapan Azam Baki: Kerajaan serah kepada pihak berkuasa buat siasatan

PUTRAJAYA, 17 Mac -- Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil (kiri) ketika sidang media mingguan Kabinet dan Majlis Penyerahan Dana Inovasi Media di Menara Komunikasi hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Fahmi berkata, sebarang tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang. - Gambar fail Bernama

PUTRAJAYA: Kerajaan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan mengambil tindakan sewajarnya berhubung tindakan dua individu mengganggu ucapan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada Selasa.

Jurucakap Kerajaan, Datuk Fahmi Fadzil berkata, sebarang tindakan lanjut bergantung kepada hasil siasatan sekiranya terdapat pelanggaran undang-undang.

“Kita serah kepada pihak berkuasa untuk meneliti dan sekiranya ada apa-apa pelanggaran, maka apa tindakan yang perlu disusuli, itu kita serah kepada pihak berkuasa,” katanya dalam sidang media selepas Mesyuarat Jemaah Menteri, di sini, pada Rabu.

Beliau dalam masa sama memaklumkan, pihaknya belum menerima laporan rasmi berhubung insiden berkenaan dan hanya mengetahui mengenainya melalui laporan media.

“Saya tidak ada terima laporan. Saya cuma meneliti apa yang berlaku dalam sidang media atau melalui laporan media,” ujarnya.

Insiden itu berlaku pada Selasa apabila Azam sedang menyampaikan ucapan dalam Program Wacana Ilmiah Perdana di ibu negara, apabila seorang daripada individu terbabit dipercayai cuba menghampiri pentas Azam berucap.

Tidak lama kemudian, seorang lagi individu muncul dari arah belakang, dengan salah seorang daripada mereka dilihat membawa sepanduk yang menggesa penahanan Azam berkait konflik berbangkit sebelum ini.

Bagaimanapun, kedua-dua individu berkenaan segera diiring keluar oleh petugas keselamatan, dengan gangguan tersebut hanya berlangsung selama beberapa saat.

Azam dilihat tidak terjejas dengan insiden itu dan meneruskan ucapannya yang menyentuh mengenai integriti serta tadbir urus baik.

Must Watch Video