KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Agensi Tenaga Boleh Baharu Antarabangsa (IRENA), Francesco La Camera menyeru negara-negara ASEAN mempercepatkan pembangunan tenaga boleh baharu, elektrifikasi dan pelaburan hijau bagi memastikan rantau ini tidak ketinggalan dalam peralihan tenaga global.
Ketika berucap secara dalam talian pada Persidangan Peralihan Tenaga 2026 (ETCon26) anjuran Tenaga Nasional Berhad (TNB), beliau berkata tenaga boleh baharu kini menjadi kaedah paling kompetitif untuk penjanaan elektrik, selain menawarkan kestabilan dan daya tahan jangka panjang.
Menurut beliau, tahun 2025 menyaksikan peningkatan kapasiti tenaga boleh baharu terbesar dalam sejarah apabila sebanyak 792 gigawatt (GW) kapasiti baharu dipasang di seluruh dunia. Menjelang akhir tahun lalu, tenaga boleh baharu menyumbang 49 peratus daripada keseluruhan kapasiti penjanaan elektrik global.
“Tenaga boleh baharu bukan lagi satu alternatif. Ia kini sedang menjadi tulang belakang kepada sistem tenaga baharu dunia.
“Persoalannya hari ini bukan lagi sama ada peralihan tenaga akan berlaku atau tidak, tetapi ekonomi mana yang akan memimpinnya dan ekonomi mana yang berisiko ketinggalan,” katanya.
La Camera berkata ASEAN turut merekodkan pertumbuhan positif dengan penambahan 5.2GW kapasiti tenaga boleh baharu pada penghujung 2024, menjadikan jumlah kapasiti terkumpul rantau itu mencecah 113GW.
Namun, beliau menegaskan pembangunan tenaga boleh baharu perlu dipercepatkan memandangkan ASEAN merupakan antara rantau ekonomi paling dinamik di dunia serta berada di tengah-tengah rantaian bekalan mineral kritikal dan pasaran tenaga yang berkembang pesat.
Beliau turut merujuk laporan IRENA yang menunjukkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) ASEAN berpotensi berkembang secara purata 2.6 peratus lebih tinggi setiap tahun menjelang 2050 sekiranya rantau ini terus mempercepatkan usaha penyahkarbonan dan pembangunan tenaga boleh baharu.
“Kekal berada di landasan pengurangan pelepasan karbon, penyahkarbonan dan pembangunan tenaga boleh baharu merupakan laluan yang nyata ke arah kemakmuran jangka panjang ASEAN,” jelasnya.
Menurut beliau, sektor tenaga dijangka menyokong 14.3 juta pekerjaan menjelang 2050, dengan sektor tenaga boleh baharu sahaja dijangka mewujudkan 4.6 juta peluang pekerjaan.
Menyentuh kedudukan Malaysia, La Camera berkata negara ini memainkan peranan penting dalam landskap tenaga ASEAN dengan menyumbang sembilan peratus daripada keseluruhan kapasiti tenaga boleh baharu rantau ini, selain mempunyai kekuatan dalam sektor pembuatan solar dan rantaian nilai bioenergi.
Beliau turut menyifatkan dekad ini sebagai “dekad elektrifikasi” dengan penggunaan elektrik global dijangka meningkat daripada 23 peratus ketika ini kepada 56 peratus menjelang 2050.
Dalam masa sama, beliau menegaskan dunia memerlukan pelaburan hijau berjumlah AS$1 trilion setiap tahun bagi memastikan sasaran global berkaitan tenaga boleh baharu dan kecekapan tenaga dapat dicapai.
“Tanpa pelaburan ini, kesesakan sambungan grid akan terus meningkat, kos akan bertambah dan tenaga bersih yang tersedia tidak dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Tenaga bersih tersedia, namun sistem pada masa kini masih belum bersedia untuk menyerapnya,” ujarnya.
La Camera berkata ASEAN mempunyai peluang besar untuk menjadikan elektrifikasi, perindustrian hijau dan pembangunan Grid Kuasa ASEAN (ASEAN Power Grid) sebagai teras strategi tenaga masa depan.
Persidangan ETCon26 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Jun di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur menghimpunkan pembuat dasar, pemimpin industri, pelabur dan pakar teknologi dari seluruh dunia bagi membincangkan masa depan tenaga dalam era kecerdasan buatan (AI) menerusi tema “Tenaga & Kecerdasan Buatan (AI): Sinergi Memacu Peralihan Tenaga.”