Skip to main content

Malaysia

Empat anggota polis dilepaskan dengan jaminan SPRM kes rasuah RM12,000

Adobe Stock, SPRM
Menurut sumber, mereka dilepaskan sebaik sahaja tempoh reman tamat dan SPRM sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya. - Gambar hiasan

KOTA BHARU: Empat anggota polis yang ditahan reman selama lima hari bermula 7 April bagi membantu siasatan kes meminta dan menerima rasuah dianggar bernilai RM12,000 telah dibebaskan dengan jaminan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) semalam.

Kesemua anggota berkenaan difahamkan bertugas di sebuah Ibu Pejabat Polis Daerah di negeri ini.

Menurut sumber, mereka dilepaskan sebaik sahaja tempoh reman tamat dan SPRM sedang melengkapkan kertas siasatan untuk diserahkan kepada Timbalan Pendakwa Raya bagi tindakan selanjutnya.

“Suspek yang disyaki meminta dan menerima wang rasuah itu sebagai balasan untuk tidak mengambil tindakan undang-undang ke atas seorang individu yang didapati membawa daun ketum di dalam kenderaan yang dipandunya,” katanya.

Sementara itu, Pengarah SPRM Kelantan Azmin Yusoff ketika dihubungi mengesahkan perkembangan itu dan keempat-empat suspek diwajibkan untuk melaporkan diri di pejabat SPRM Kelantan setiap bulan.

-- BERNAMA

Must Watch Video