Skip to main content

Malaysia

Elak ucapan kebencian, rai kepelbagaian demi perpaduan - Anthony Loke

Astro Awani
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden dan Pengasas Al-Khaadem, Datuk Dr Hussain Yee hadir ke program ‘Table for Unity: Ramadan in Diversity’ bertempat di Kompleks Karangkraf, pada Jumaat. - Foto Astro AWANI.

SHAH ALAM: Rakyat Malaysia perlu menjauhi ucapan kebencian dan terus mempraktikkan sikap saling menghormati dalam masyarakat majmuk bagi memastikan keharmonian negara kekal utuh.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook, menegaskan bahawa setiap individu harus melihat orang lain sebagai manusia yang setaraf tanpa mengira agama, kaum atau latar belakang.

"Manusia tidak memilih bangsa ketika dilahirkan, justeru perbezaan yang ada tidak wajar dijadikan alasan untuk saling meminggirkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada program ‘Table for Unity: Ramadan in Diversity’ bertempat di Kompleks Karangkraf, pada Jumaat.

Program anjuran Komuniti Mualaf Baharu (NMC) melalui Al-Khaadem dengan kerjasama Sinar Harian, Sinar Daily dan Karya Bestari itu berfungsi sebagai wadah perbincangan mengenai perpaduan dan nilai kebangsaan.

Turut bersama sebagai panel ialah Presiden dan Pengasas Al-Khaadem, Datuk Dr Hussain Yee.

Dalam pada itu, Anthony turut menekankan bahawa perbezaan budaya, amalan dan kepercayaan tidak seharusnya menjadi penghalang perpaduan rakyat.

"Kepelbagaian nilai yang wujud boleh menjadi kekuatan negara jika diraikan secara positif kerana masyarakat berkongsi banyak persamaan yang boleh membentuk asas kepada hubungan yang lebih kukuh.

"Terdapat banyak kisah perpaduan di persekitaran harian, namun ia sering tidak mendapat perhatian kerana media sosial lebih menonjolkan isu sensitif dan insiden terasing yang mencetuskan persepsi negatif," ujarnya lagi.

Sehubungan itu, Loke menggesa supaya lebih banyak naratif positif berkaitan perpaduan diketengahkan kepada masyarakat.

"Usaha menonjolkan kisah-kisah yang menunjukkan kerjasama dan keharmonian merupakan salah satu cara untuk mengukuhkan hubungan antara komuniti," ujar beliau.   

Must Watch Video