Skip to main content

Malaysia

E-waste: SPRM selesai siasat Ketua Pengarah JAS, timbalan, syor tuduh di mahkamah

Putrajaya , 4 Mac 2026.Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM Putrajaya.Astro AWANI / SHAHIR OMAR
Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu masing-masing dihantar pada 26 Februari dan 6 Mac lalu, dan kini menunggu tindakan lanjut AGC. - Gambar fail

KUALA LUMPUR: Kertas siasatan berhubung isu e-waste melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah lengkap dan dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara (AGC) dengan syor pertuduhan.

Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, kertas siasatan itu masing-masing dihantar pada 26 Februari dan 6 Mac lalu, dan kini menunggu tindakan lanjut AGC.

“Berkenaan dengan kes melibatkan Ketua Pengarah dan Timbalan Ketua Pengarah JAS, tindakan kertas siasatan telah selesai dan telah dibentangkan kepada AGC dengan syor tuduh.

"Suruhanjaya ini sedang menunggu pelaksanaan pertuduhan oleh AGC ke atas kedua-dua pegawai kanan JAS berkenaan dalam masa terdekat,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, isu pengurusan e-waste dan sisa plastik merupakan antara cabaran yang telah lama dihadapi, khususnya di kawasan yang terkesan dengan aktiviti pelupusan dan pemprosesan yang tidak teratur.

Aduan berkaitan pencemaran udara, air dan tanah turut memberi kesan kepada kesejahteraan penduduk setempat, sekali gus menuntut tindakan bersepadu daripada pelbagai pihak termasuk agensi penguatkuasaan.

“Masalah e-waste dan sisa pepejal plastik sudah lama dihadapi oleh rakyat dan tidak dapat diselesaikan walaupun telah banyak aduan pencemaran. Akhirnya SPRM telah bertindak dengan menyiasat dan menahan mereka yang diamanahkan untuk melindungi alam sekitar,” tambah beliau.

Beliau turut menegaskan bahawa sebarang elemen rasuah boleh memberi implikasi yang lebih luas, termasuk kepada kelestarian alam sekitar serta kesihatan awam.

SPRM sebelum ini telah mengetuai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Import Sisa Plastik dan E-Waste, yang dipengerusikan oleh Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.

Langkah utama yang diputuskan oleh pasukan petugas khas ialah pengimportan e-waste diharamkan sepenuhnya dan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023 mulai 4 Februari 2026.

Penubuhan pasukan petugas ini dibuat susulan penemuan serius berkaitan penyeludupan sisa elektronik, termasuk laporan ratusan kontena e-waste yang tersadai di pelabuhan dan berpotensi mencemarkan alam sekitar.

Pasukan petugas ini melibatkan 12 agensi termasuk JAS, Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM), Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), serta Polis Diraja Malaysia (PDRM).
 

Must Watch Video