Skip to main content

Malaysia

Dua syarikat di Melaka yang ditarik balik SPHM diarah henti guna logo halal - Exco

71720002541_halaljakim.jpg
Kedua-dua syarikat tersebut diarahkan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya.

MELAKA: Sebuah syarikat pengeluar produk kopi dan sebuah syarikat kilang biskut di Melaka yang ditarik balik Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) telah diarah menghentikan penggunaan logo halal berkenaan serta menarik balik semua produk yang telah dikeluarkan sebelum ini.

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri Datuk Rahmad Mariman berkata kedua-dua syarikat tersebut diarahkan mengambil langkah penambahbaikan yang sewajarnya, termasuk proses sertu mengikut hukum syarak dan garis panduan yang ditetapkan, sebelum sebarang pertimbangan permohonan semula SPHM dapat dilakukan.

"Perkara ini memerlukan tindakan lanjut memandangkan keperluan untuk memastikan semua peralatan yang digunakan adalah bebas daripada unsur haram atau syubhah yang merupakan prinsip asas dalam pensijilan halal, termasuk implikasi terhadap pencemaran najis mughallazah.

"Sekarang ini pun mereka tidak boleh mempamerkan logo halal dalam premis...sekiranya melanggar arahan itu, dua tindakan yang boleh dilakukan antaranya tindakan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) iaitu notis dan kompaun," katanya kepada pemberita di Masjid Al-Alami di sini malam tadi.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Bacaan Yasin dan Doa Kesyukuran Peringkat Negeri Melaka 2026 sempena Tiga Tahun Kepimpinan Ketua Menteri Melaka dan Semua Barisan Kepimpinan Kerajaan Negeri Melaka.

Rahmad berkata tindakan menarik balik  SPHM terhadap kedua-dua syarikat berkenaan dilakukan selaras dengan garis panduan yang ditetapkan kerana terdapat ketidakakuran serius mengikut Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia (Domestik) 2020 (Pindaan); klausa 32(3) Ketidakakuran Serius (a) Ketidakakuran Berkaitan Syariah : (ii) Ketidakakuran berkaitan penggunaan, pengendalian, penyimpanan, dan percampuran bahan tidak halal meliputi bahan mentah, produk, menu, perkhidmatan, premis, peralatan dan perkakasan, produk dagangan dan lain-lain.

Beliau berkata tindakan yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM)  ke atas kedua-dua syarikat itu merupakan salah satu prosedur biasa dan rutin yang dijalankan secara berterusan dari semasa ke semasa.

"Saya ingin menegaskan bahawa pematuhan terhadap standard dan perundangan halal merupakan satu tanggungjawab bersama yang memerlukan komitmen berterusan daripada semua pihak.

"Dalam hal ini saya melihat JAIM amat berhati-hati dengan tindakan yang dilaksanakan kerana kita tunggu dulu keputusan daripada Makmal Halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk tindakan menarik semula sijil halal kedua-dua syarikat berkenaan," katanya.

Beliau berkata kedua-dua syarikat berkenaan hanya boleh memohon semula sijil halal berkenaan setelah proses sertu dilakukan di kilang mereka dan produk yang ditarik balik dipantau semula dengan proses ketat serta mematuhi prosedur dan prosedur pensijilan SPHM.

Rahmad berkata pihak industri disarankan supaya sentiasa meneliti setiap aspek dalam rantaian pengeluaran merangkumi bahan mentah, peralatan dan proses serta perkhidmatan agar sentiasa terpelihara daripada sebarang unsur yang boleh menjejaskan status dan integriti halal.

Semalam media melaporkan sijil halal sebuah kilang memproses kopi dan biskut di Melaka ditarik balik serta-merta selepas didapati menggunakan berus dipercayai daripada bulu babi dalam kerja-kerja pembersihan peralatan.

Pengarah JAIM Md Azhan Samat dilaporkan berkata perkara itu dikesan menerusi pemeriksaan dijalankan Bahagian Pengurusan Halal JAIM pada Januari lepas selepas anggota penguat kuasa menemukan penggunaan berus berasaskan bulu haiwan di premis terbabit.

-- BERNAMA

 

 

 

Must Watch Video