SUBANG JAYA: Dua lelaki maut manakala seorang lagi cedera selepas terjatuh daripada jentera skylift ketika menjalankan kerja penyelenggaraan di sebuah rumah pangsa di sini pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Polis Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima laporan kejadian melalui panggilan kecemasan MERS 999 kira-kira jam 3.50 petang.
Menurutnya, sepasukan anggota dari Balai Polis USJ 8, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Subang Jaya kemudian bergegas ke lokasi kejadian sejurus menerima maklumat.
"Hasil pemeriksaan awal mendapati tiga lelaki dalam keadaan terbaring di bahagian pintu masuk apartmen tersebut.
"Dua daripada mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi mangsa telah dibawa ke Hospital Serdang untuk mendapatkan rawatan selepas mengalami kecederaan di bahagian kepala dan dada,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa yang maut mengalami kecederaan parah di bahagian kepala serta anggota badan.
"Kesemua mangsa berumur antara 38 hingga 46 tahun,” katanya.
Wan Azlan berkata, siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berlaku ketika ketiga-tiga mangsa sedang menjalankan kerja penyelenggaraan di tingkat lima menggunakan jentera skylift.
"Ketika kejadian, keadaan cuaca dilaporkan hujan lebat,” katanya.
Tambah beliau, setakat ini pemeriksaan di lokasi tidak menemui sebarang unsur jenayah.
Kes diklasifikasikan sebagai laporan mati mengejut (Sudden Death Report – SDR)," ujarnya.
Menurutnya, kedua-dua mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultan Idris Shah, Serdang bagi tujuan bedah siasat.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran awam.
"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta menghubungi Pusat Kawalan Daerah IPD Subang Jaya di talian 03-78627222 atau 03-78627100, atau mana-mana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan," katanya.