SUNGAI PETANI: Dua lelaki ditahan selepas dipercayai cuba mencuri kabel berhampiran Dataran Jam Besar di sini, petang semalam.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda ACP Hanyan Ramlan berkata kegiatan lelaki berusia 42 dan 44 tahun itu disedari anggota polis yang sedang melakukan rondaan kira-kira 4 petang semalam, di kawasan tersebut.
"Lokasi kejadian kira-kira 80 meter dari jam besar, apabila penutup lubang kumbahan (manhole) didapati terbuka dan kedua-dua suspek ditemui berada di dalamnya.
"Kedua-dua suspek dipercayai adik-beradik dan semakan rekod kesalahan lampau mendapati masing-masing mempunyai 12 rekod berkaitan dadah," katanya
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan dan kedua-dua suspek turut didapati positif dadah jenis Methamphetamine.
-- BERNAMA