Skip to main content

Malaysia

Dua kapal milik Malaysia dalam perjalanan pulang dari Selat Hormuz - Fahmi

PUTRAJAYA, 15 April -- Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil bercakap mengenai taklimat krisis tenaga global pada sidang media mingguan Kabinet di Putrajaya hari ini.  --fotoBERNAMA (2026) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Komunikasi merangkap jurucakap Kerajaan Perpaduan Datuk Fahmi Fadzil bercakap mengenai taklimat krisis tenaga global pada sidang media mingguan Kabinet di Putrajaya hari ini. - Foto BERNAMA

PUTRAJAYA: Dua kapal milik Malaysia kini dalam perjalanan pulang ke tanah air manakala lima lagi masih berada di Selat Hormuz, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Jurucakap Kerajaan MADANI itu berkata perkembangan tersebut dimaklumkan kepada Jemaah Menteri dalam mesyuarat Kabinet yang dipengerusikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Pada waktu ini, dimaklumkan terdapat dua kapal yang dalam perjalanan... satu dijangka tiba pada 17 April manakala satu lagi mungkin minggu yang berikutnya... terdapat lima kapal yang masih lagi berada di Selat Hormuz,” katanya dalam taklimat krisis tenaga global dan sidang media pascamesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Selat Hormuz ialah antara laluan perkapalan paling penting dunia khususnya bagi penghantaran minyak mentah global, dan sebarang gangguan di kawasan itu boleh memberi kesan kepada rantaian bekalan serta harga tenaga.

Dalam perkembangan sama, Fahmi berkata krisis tenaga global termasuk pendirian Malaysia mengenai konflik Asia Barat akan dibangkitkan ketika lawatan Perdana Menteri Australia Anthony Albanese ke Malaysia.

“Saya percaya Perdana Menteri akan bangkitkan pendirian Malaysia mengenai isu konflik di Asia Barat dan sudah pasti isu mengenai keadaan sekatan yang berlaku di Selat Hormuz itu akan dibincangkan... pada waktu ini, sekurang-kurangnya ada dua perjanjian persefahaman (MoU) yang akan dimeterai,” katanya.

Albanese dijadual melawat Malaysia bermula hari ini hingga 17 April, yang menjadi antara usaha negara untuk menguruskan risiko keselamatan tenaga dalam tempoh ketidaktentuan global yang berterusan, termasuk konflik di Asia Barat dan gangguan yang menjejaskan penghantaran melalui Selat Hormuz.

Kenyataan Wisma Putra memaklumkan melalui kerjasama yang erat dengan Australia, Malaysia sedang berusaha untuk memastikan akses berterusan ke atas sumber kritikal, terutama gas asli cecair (LNG), yang diperlukan bagi penjanaan elektrik dan aktiviti perindustrian.

Dilaporkan MoU berkenaan ialah mengenai Perkongsian Strategik Daging Merah Halal (SHRP) antara kedua-dua negara, perjanjian antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia (DAFF) untuk memperkemas proses audit serta meningkatkan akses kepada daging halal.

Australia adalah rakan ekonomi penting bagi Malaysia dan berada di kedudukan ke-12 sebagai rakan dagang terbesar negara pada 2025, merekodkan jumlah perdagangan dua hala mencecah RM78.63 bilion (USD18.38 bilion).

-- BERNAMA

 

Must Watch Video