Skip to main content

Malaysia

Dua ADUN ditahan berhubung LTTE kekal sebagai wakil rakyat - SPR

51564052778_PCAZHAR.jpg
Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang ditahan polis kerana disyaki mempunyai hubungan dengan kumpulan pemberontak Tamil Eelam (LTTE), akan kekal sebagai wakil rakyat.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun berkata,  seseorang wakil rakyat itu hanya akan hilang kelayakan sebagai ADUN atau Ahli Parlimen sekiranya mereka disabitkan kesalahan  oleh mahkamah dan didapati bersalah.

"Hilang kelayakan untuk menjadi wakil rakyat  hanya akan terjadi sekiranya terdapat pensabitan oleh mahkamah , he must be found guilty. Mesti terdapat  pensabitan oleh mahkamah  dan dia mesti dihukum penjara 12 bulan atau lebih atau denda tidak kurang dari RM2,000  baru dia disqualified.

"Tetapi walaupun  disabit dan dihukum begitu  tetapi kalau merayu  tak disqualify lagi, dia kena proses rayuan habis.  Baru disqualify. Maka dia kena  pensabitan, ditangkap dibawah SOSMA tu bukan pensabitan mahkamah,' katanya dalam sidang media selepas  menghadiri Forum Demokrasi di Universiti Sains Malaysia, di sini, pada Selasa.

Beliau mengulas penahanan dua ADUN yang masing-masing dari  Melaka dan Negeri Sembilan yang mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) baru-baru ini selepas disyaki terbabit dengan kumpulan pengganas LTTE.

Katanya lagi, penahanan kedua-dua ADUN itu oleh pihak polis tidak akan menyebabkan mereka hilang kelayakan sebagai ADUN.

Selain dua ADUN berkenaan, polis turut menahan lima lagi individu pada 10 Oktober lalu selepas  turut disyaki terlibat dengan kumpulan pengganas berkenaan.


Lima lagi individu, termasuk seorang guru kemudiannya ditahan pada 13 Oktober lalu kerana disyaki terbabit mempromosi, menyokong, memiliki bahan dan menyalurkan dana membabitkan LTTE.

Sehingga kini, jumlah keseluruhan tangkapan berkaitan LTTE  adalah  12 orang.

Must Watch Video