Skip to main content

Malaysia

DNAA Ahmad Zahid tidak bercanggah undang-undang - Peguam

KUALA LUMPUR, 18 Dis -- Timbalan Perdana Menteri yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi ketika ditemui media selepas Majlis Konvokesyen Ketiga Universiti Poly-Tech Malaysia (UPTM) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) hari ini.  --fotoBERNAMA (2025) HAK CIPTA TERPELIHARA
Mahkamah sebelum ini memutuskan untuk memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa AGC mahu menghentikan prosiding bagi meneliti bukti baharu. - Gambar fail/Bernama

PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa keputusan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) pada 2023 berkaitan kes rasuah dana Yayasan Akalbudi yang diasaskannya tidak bercanggah dengan mana-mana undang-undang.

Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berhujah bahawa keputusan Pendakwa Raya (PP) untuk memberikan DNAA dibuat dalam lingkungan kuasa dan bidang kuasanya mengikut Perkara 145(3) Perlembagaan Persekutuan serta Seksyen 254 Kanun Tatacara Jenayah.

“Keputusan itu tidak dibuat bertentangan dengan mana-mana undang-undang dan tidak menyimpang daripada kerangka atau dasar Seksyen 254. Ia juga tidak melanggar sebarang arahan kepada pendakwa raya, yang pada asasnya tidak mengikat PP serta tidak mengatasi budi bicara pendakwaan yang diperuntukkan oleh Perlembagaan,” katanya.

Beliau berkata demikian di hadapan panel tiga hakim yang dipengerusikan Datuk Faizah Jamaludin bersama Datuk Dr Lim Hock Leng dan Datuk Nadzarin Wok Nordin.

Ahmad Hanir turut berhujah bahawa kes itu dihentikan berikutan wujud isu baharu serta bukti yang memerlukan siasatan lanjut secara terperinci dan menyeluruh.

Menurutnya pendakwa raya turut mengambil kira kepentingan awam bagi memastikan siasatan tidak dilakukan secara tergesa-gesa, cuai, pramatang atau tidak lengkap sehingga boleh menjejaskan kredibiliti Jabatan Peguam Negara (AGC) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebagai badan pendakwaan dan penyiasatan masing-masing.

Ahmad Hanir yang mewakili Peguam Negara mengemukakan hujahan itu dalam rayuan Badan Peguam terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada Jun 2024 yang menolak permohonan kebenaran untuk memulakan prosiding semakan kehakiman.

Sementara itu, peguam Datuk S. Ambiga yang mewakili Badan Peguam berhujah bahawa walaupun hak tertuduh diiktiraf, pelaksanaan muktamad budi bicara pendakwaan perlu dipandu oleh kepentingan awam.

Beliau berkata dalam kes berkenaan, seramai 99 saksi pendakwaan telah memberi keterangan, manakala pihak pembelaan telah dipanggil dan kini berada pada peringkat saksi pembelaan ke-15.

Selepas mendengar hujahan kedua-dua pihak, Hakim Faizah berkata panel memerlukan masa untuk meneliti perkara berkenaan dan tarikh keputusan akan ditetapkan kemudian.

Dalam rayuan itu, Badan Peguam mencabar keputusan Peguam Negara pada 4 Sept 2023 yang memberikan DNAA kepada Timbalan Perdana Menteri itu, membabitkan 47 pertuduhan pecah amanah, rasuah dan pengubahan wang haram berkaitan dana Yayasan Akalbudi.

Badan Peguam turut memohon perisytiharan mahkamah bahawa keputusan Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Persekutuan), adalah tidak sah dan dibuat melangkaui bidang kuasa yang diberikan kepada Peguam Negara.

Mahkamah sebelum ini memutuskan untuk memberikan DNAA selepas pihak pendakwaan memaklumkan bahawa AGC mahu menghentikan prosiding bagi meneliti bukti baharu.

-- BERNAMA

Must Watch Video